am@hmetro.com.my
Alor Setar : Banjir termenung yang melanda pekan Langgar, di sini, minggu lalu, bukan disebabkan masalah penyelenggaraan sistem perparitan, sebaliknya akibat air limpahan Sungai Langgar yang meningkat mendadak susulan hujan berterusan dan fenomena air pasang besar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohammad Yusof @ Munir Zakaria berkata, semakan di lapangan mendapati paras Sungai Langgar naik dan melimpah sehingga membanjiri kawasan sekitarnya.
Katanya, hasil pemeriksaan di kawasan juga mendapati sistem saliran dan longkang di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) diselenggara secara berkala mengikut jadual perancangan kerja ditetapkan.
“Untuk longkang di jalan negeri, kawasan yang terbabit ialah di sekitar Jalan Makam Diraja Langgar. Kerja cucian longkang pusingan ketiga baru dilaksanakan pada 2 Oktober lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Yusof berkata, bagi jalan persekutuan di kawasan berkenaan pula, kerja cucian longkang sudah dilakukan lebih awal iaitu pada 4 September lalu, sekali gus menafikan dakwaan penduduk bahawa sistem perparitan tidak disenggara.
Katanya, faktor utama banjir termenung itu berpunca daripada keadaan geografi dan sistem sungai yang kompleks membabitkan pertemuan beberapa sungai utama dari daerah berhampiran.
“Aliran perlahan Sungai Kedah bukan saja disebabkan air pasang tinggi, tetapi juga kerana sistem Sungai Kedah ini bercampur dengan aliran dari Sungai Pendang, Kubang Pasu, Padang Terap dan Pokok Sena.
“Apabila semua lembangan ini menerima hujan lebat secara serentak, aras air di kesemua sungai meningkat dan menyebabkan aliran ke muara Kuala Kedah menjadi perlahan,” katanya.
Mohammad Yusof berkata, keadaan menjadi lebih mencabar kerana kedudukan topografi di sekitar Alor Setar yang landai serta rendah berbanding paras laut, menjadikan proses aliran keluar air ke laut lebih lambat.
Katanya, walaupun aliran sungai perlahan, operasi pengeluaran air banjir dikendalikan secara sistematik oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi memastikan kawasan pertanian tidak terjejas lebih teruk.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerima peruntukan tambahan bagi melaksanakan kerja baik pulih dan mendalamkan Sungai Langgar sepanjang 2.2 kilometer yang dijangka bermula pertengahan Oktober ini.
Katanya, projek itu dijangka membantu meningkatkan keupayaan sungai menampung jumlah air yang lebih besar dan mengurangkan risiko limpahan pada masa akan datang.
“Kerja ini antara langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir berulang, terutama di kawasan rendah dan berisiko tinggi seperti Langgar,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya tidak membuang sampah ke dalam longkang atau sistem saliran bagi memastikan pengaliran air kekal lancar ketika hujan lebat.
“Pihak berkuasa akan terus memantau keadaan dan mengambil langkah segera jika paras air meningkat semula, namun kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan sistem sedia ada berfungsi dengan baik,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan penduduk di Pekan Langgar terjejas akibat banjir termenung sejak Sabtu minggu lalu.
Ia menyebabkan 10 kampung di situ mengalami keadaan yang sama iaitu Kampung Alor Raja, Kampung Makam Diraja, Kampung Limbong, Kampung Alor Setol dan Kampung Pokok Asam.
Turut terjejas ialah Pondok Haji Ahmad, Kampung Tanjung Inggeris, Kampung Alor Besar, Kampung Pagar Air dan Kampung Pondok Syeikh.
© New Straits Times Press (M) Bhd