am@hmetro.com.my
Dungun: Nelayan yang ditemui selamat selepas bot dinaikinya rosak pada kedudukan kira-kira 27 batu nautika dari Kuala Dungun bersyukur masih hidup selepas dua kali nyaris dilanggar kapal besar, awal pagi, hari ini.
Tengku Asmawi Nizam Tengku Hassan, 40, berkata, dia langsung melelapkan mata kerana lokasi kejadian itu adalah laluan utama kapal dagang.
Menurutnya, sebelum kejadian dia sudah beberapa kali berpindah di lokasi memancing kerana tidak membuahkan hasil tangkapan.
“Saya berpindah ke lokasi terakhir kira-kira jam 12 tengah hari dan di situ saya sangat gembira kerana tangkapan abek dan selar tidak putus-putus menyambar umpan.
“Ketika untuk beredar pulang ke darat kira-kira 2 petang, saya menghidupkan enjin namun bot tidak dapat bergerak, apabila diperiksa didapati kipas bot sudah tertanggal,” katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, dia ketika itu tidak dapat meminta bantuan memandangkan lokasi kejadian tidak mempunyai talian perhubungan.
“Saya ketika itu sudah bimbang kerana cuaca diramalkan ribut pada waktu petang.
“Saya hanya berdoa sekiranya ada bot nelayan dan rakan lain melalui kawasan itu supaya dapat memberi bantuan.
“Sangkaan saya meleset apabila sehingga jam 6 petang, tiada sebuah bot melalui perairan itu,” katanya.
Tengku Asmawi Nizam berkata, ribut kencang disusuli hujan lebat mula melanda kira-kira jam 7 malam yang menyebabkan laut mula bergelora.
“Ribut berlaku selama 11 jam, dan saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengetatkan jaket keselamatan, serta tidak melepaskan pegangan pada tepi bot.
“Nasib saya sangat baik apabila sauh yang dipacak di dasar laut sangat kuat dan tidak putus,” katanya.
Malah, katanya, bot dinaiki hampir dirempuh dua kapal iaitu pada 2 dan 4 pagi.
“Bagi menyelamatkan diri saya bakar dua sarung tangan yang ditemui dan melambai ke arah kapal itu bagi membolehkan mereka nampak saya dan mengelak.
“Saya bersyukur lapan bot milik rakannya yang keluar membantu pasukan penyelamat menemui saya 11 pagi ini.
“Sepanjang 15 tahun tahun menjadi nelayan ini adalah pengalaman yang pertama kali berlaku dan buat masa ni saya akan berehat sebelum turun semula ke laut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd