Krisdayanti wakili Indonesia ke sukan wushu di China

Krisdayanti wakili Indonesia ke sukan wushu di China


georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pada usia 50 tahun, penyanyi tersohor seberang, Krisdayanti merealisasikan impiannya menjadi atlet wushu negara dan bakal mewakili Indonesia dalam kejohanan sukan itu di China bermula hari ini sehingga 20 Oktober.

Berita cukup mengagumkan itu dikongsinya dengan penuh keterujaan dan mengakui rancak membuat persiapan akhir sebelum berangkat menyertai pertandingan peringkat antarabangsa itu bersama pasukannya.

“Berlatih layaknya bertanding, hari ini kami melakukan simulasi latihan terakhir sebelum berangkat untuk pertandingan antarabangsa wushu di İmeishan.

“Doakan Indonesia juara,” tulisnya di Instagram.

Nenek kepada dua cucu itu kelihatan begitu anggun namun penuh berkobar dalam gambarnya bersama anggota pasukan lain yang rata-ratanya jauh lebih muda berbanding dirinya.

Menerusi video dikongsikan pula, ramai memuji ketangkasan beraksi selain tidak kekok melentur badan pada usia separuh abad.

Kegigihannya itu benar-benar mencetuskan inspirasi dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat kerana pada usia begitu masih memiliki semangat jitu menceburi bidang sukan.

“Ternyata bukan suaranya sahaja yang bagus, KD (Krisdayanti) punya bakat lain. Respek. Tiba-tiba jadi atlet. Semoga dapat bawa pulang pingat buat Indonesia,” itu antara pujian netizen.

Difahamkan, awalnya Krisdayanti cuma menceburi sukan bela diri itu sebagai hobi dan untuk mengisi masa lapang sejak beberapa tahun lalu. Minatnya berlanjutan dan kian serius sehingga dapat mewakili Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top