HARI ini, solekan seakan menjadi keperluan utama bagi sebilangan wanita khususnya mereka yang bekerja.
Ada yang tidak akan melangkah keluar rumah tanpa secalit gincu pada bibir atau sekurang-kurangnya berbedak atau mengenakan celak pada mata.
Malah, ada juga yang menjadikan solekan tebal sebagai identiti diri tidak kiralah sama ada ketika menghadiri majlis mahupun dalam urusan harian.
Di sebalik kecantikan luaran itu, ada batas yang perlu dijaga agar tidak melampaui syariat.
Pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, Islam tidak pernah melarang wanita berhias atau bersolek sama ada di dalam mahupun di luar rumah.
USTAZ AZHAR
Namun begitu, katanya, setiap tempat mempunyai adab dan hadnya tersendiri.
“Di luar rumah, tidak boleh (bersolek dan berhias) secara berlebihan, manakala di rumah pula sunat berlebih-lebihan,” katanya sebagaimana dipetik daripada video yang dikongsikan di akaun YouTube miliknya baru-baru ini.
Beliau kemudian berkongsi dalil tentang larangan berhias secara berlebihan sebagaimana firman ALLAH SWT: “Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu serta janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab: 33)
Berdasarkan nas itu, ujar Ustaz Azhar, jelas bahawa ALLAH SWT melarang berhias yang melangkaui hadnya hingga menyerupai wanita-wanita jahiliah dahulu.
Beliau menambah, jika benar berhias itu dilarang sepenuhnya, nescaya ALLAH tidak akan meletakkan batasan khusus dalam ayat tersebut.

DALAM al-Quran, ada dalil yang melarang berhias melangkaui hadnya hingga menyerupai wanita-wanita jahiliah dahulu. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Sebaliknya, larangan hanya diberikan terhadap sifat tabarruj iaitu berhias secara berlebih-lebihan untuk menarik perhatian orang lain,” katanya.
Pun begitu, Ustaz Azhar Idrus mengingatkan kaum Hawa agar berhiaslah secara sederhana ketika keluar rumah.
Ia masih dibenarkan kerana Islam meraikan fitrah wanita yang suka tampil kemas dan cantik.
Namun, beliau menegaskan bahawa tempat terbaik untuk wanita menunjukkan kecantikannya adalah di dalam rumah khususnya buat suami.
Jelas beliau, berhias di rumah untuk menyambut kepulangan suami bukan sekadar tanda kasih, malah termasuk dalam amalan yang berpahala.

TEMPAT terbaik untuk wanita menunjukkan kecantikannya adalah di dalam rumah khususnya buat suami. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Sebab itu apabila keluar rumah, wanita cukup sekadar berhias sederhana saja.
“Namun, apabila berada di rumah, bersiaplah untuk suami. Mandi, berwangian, sapu bedak, oles gincu, calit celak pada mata, pakai pakaian cantik untuk suami,” sarannya.
Pada masa sama, beliau turut menegur sikap segelintir wanita yang hanya berhias ketika mahu keluar rumah atau menghadiri majlis, tetapi tampil kusam di hadapan suami sendiri.
“Ini tidak, isteri kita kalau keluar hendak berjalan, pergi tengok orang bernikah, bertunang atau menghadiri majlis, barulah berhias cantik dan bersolek lawa, tetapi tidak bila di rumah,” katanya berseloroh.