Kerajaan memberi jaminan setiap siasatan melibatkan kes jenayah serius seperti rogol dan bunuh di kawasan sekolah akan dijalankan dengan telus, profesional serta berintegriti tinggi.
Menurut Buletin TV3, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keyakinan masyarakat terutama ibu bapa terhadap keupayaan pasukan polis perlu terus diperkukuh dengan memastikan setiap pelaku jenayah dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi.
Beliau menegaskan, kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di sekolah adalah berasas memandangkan kebelakangan ini tular beberapa kes jenayah di institusi pendidikan termasuk insiden tikaman hingga maut, rogol dan pelajar jatuh bangunan.
Kes jenayah di sekolah dijalankan telus
“Apabila membabitkan kanak-kanak kita gunakan akta kanak-kanak. Tetapi kalau perlakuan itu membabitkan Kanun Keseksaan atau membawa kepada (Seksyen) 302 atau 375 atau 377B atau semua Seksyen berkaitan jenayah indeks, maka itu juga tidak menghalang hala tuju siasatan ke arah itu.
“Soalnya adalah kita harus mengukuhkan keyakinan rakyat, masyarakat termasuk ibu bapa. Kalau ianya terkait dengan insiden jenayah di sekolah maka pelakunya akan kita bawa ke muka pengadilan menggunakan undang-undang yang sedia ada.
“Dengan menjanjikan siasatan yang berkualiti, telus dan profesional kerana itulah sebenarnya yang menjadi harapan kepada masyarakat di luar sana,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, di sini petang semalam.
Artikel lain: KPM umum reformasi serta merta! Fadhlina tekad tingkat keselamatan murid di sekolah
Kes jenayah di sekolah dijalankan telus
Selain Saifuddin, majlis penyerahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim yang siap dibina pada Jun lalu dengan kos keseluruhan RM85 juta itu turut disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sumber: Buletin TV3 (Muhammad Zulsyamini Sufian Suri)