Alonso beri amaran kepada McLaren, Verstappen mampu cabar kejuaraan

Alonso beri amaran kepada McLaren, Verstappen mampu cabar kejuaraan


Austin: Juara dunia dua kali, Fernando Alonso, berkata bahawa Max Verstappen berupaya untuk merampas kelebihan 63 mata milik Oscar Piastri bagi memburu gelaran juara dunia kelima musim ini.

Pelumba Aston Martin itu bagaimanapun tidak berani meramalkan sama ada juara dunia empat kali berkenaan akan berjaya, namun menegaskan bahawa jika ada sesiapa yang mampu melakukannya, orang itu ialah Verstappen.

“Sukar untuk dikatakan atau diramal siapa yang akan memenangi kejuaraan.

“Dua pelumba McLaren kini mempunyai sedikit kelebihan dari segi mata dan saya rasa persaingan tertumpu antara mereka berdua.

“Namun Max adalah pemandu yang luar biasa antara yang terbaik dalam sejarah sukan ini.

“Dia kini berdepan dengan jentera yang lebih unggul, iaitu McLaren, tetapi jika kejuaraan ini ditentukan sehingga ke perlumbaan terakhir dan mata mereka rapat, ketika itu dia pasti menjadi pelumba yang perlu diberi perhatian,” kata Alonso ketika ditemui wartawan menjelang Grand Prix Amerika Syarikat hujung minggu ini.

Alonso turut menegaskan bahawa tekanan terhadap perebutan gelaran akan semakin meningkat menjelang enam baki perlumbaan terakhir musim ini.

Sementara itu, Verstappen ketika ditanya mengenai peluangnya dalam perebutan gelaran dunia berkata, dia kini mengambil pendekatan “satu perlumbaan pada satu masa” dan “tidak terlalu memikirkannya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top