Piala FA: Harimau Selatan baham Harimau Kumbang

Piala FA: Harimau Selatan baham Harimau Kumbang


Sebahagian aksi menarik JDT menentang Penang dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di di Stadium Bandaraya. FOTO: JOHOR Southern Tigers

PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan tipis menjelang aksi timbal balik suku akhir Piala FA 2025/26 selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Penang FC dalam perlawanan pertama di Stadium Bandaraya, Georgetown pada Jumaat.

Skuad Harimau Selatan bermula garang apabila Oscar Aribas membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi penyudah kemas dalam kotak penalti, sekali gus mengejutkan barisan tuan rumah dan ribuan penyokong Penang.

Tersentak dengan jaringan awal itu, anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail meningkatkan tempo permainan dengan beberapa asakan berbahaya sebelum Muhammad Adib Ra’op berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Azmi Mohamed untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-35.

Bagaimanapun, usaha Harimau Kumbang untuk mengekalkan momentum terbantut apabila Ahmad Irfan Mohd Noor dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama selepas mengasari Romel Morales menyebabkan pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh JDT yang mengawal perlawanan selepas rehat sebelum Ager Aketxe Barrutia menambah jaringan pada minit ke-55 menerusi rembatan deras yang sedikit terbias mengenai Mohd Khairulazhan Mohd Khalid menjadikan kedudukan 2-1.

Meskipun kekurangan seorang pemain, Penang terus menampilkan semangat juang tinggi dan berusaha keras memburu gol penyamaan, namun barisan pertahanan JDT kekal ampuh hingga ke wisel penamat.

Kemenangan itu memberi kelebihan tipis buat skuad kendalian Héctor Bidoglio yang akan menerima kunjungan Penang bagi aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 28 Oktober ini bagi menentukan tempat ke separuh akhir.

Ringkasan AI

  • JDT mencatat kemenangan 2-1 ke atas Penang FC
  • Oscar Aribas dan Ager Aketxe Barrutia masing-masing menjaringkan gol untuk JDT
  • Muhammad Adib Ra’op berjaya menewaskan penjaga gol JDT untuk menyamakan kedudukan
  • Ahmad Irfan Mohd Noor dari Penang FC dilayangkan kad merah, pasukan tuan rumah beraksi dengan 10 pemain
  • Kemenangan memberi kelebihan tipis kepada JDT untuk aksi timbal balik suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri



Source link

OR

Scroll to Top