Kira-kira 120,000 pelajar daripada 965 sekolah di Selangor bakal menerima sarapan percuma bermula Ogos ini menerusi inisiatif kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program berkenaan melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah agama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta institusi berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
Beliau berkata, penerima dipilih berdasarkan data JPN Selangor dan akan menerima sarapan percuma sebanyak dua hingga tiga kali seminggu.
“Dua hingga tiga kali seminggu, pelajar yang dikenal pasti melalui data JPN Selangor itu akan menerima sarapan bagi mengurangkan beban keluarga yang memerlukan.
“Negara maju seperti Finland dan United Kingdom membuktikan bahawa sarapan percuma bukan pembaziran namun pelaburan.
“India juga memperkenalkannya pada 2022 dan menyaksikan peningkatan kehadiran dan penurunan ketara keciciran pelajar,” katanya.
Sekadar gambar hiasan
Menurut Amirudin, kerajaan negeri mahu memastikan sekolah bukan sahaja menjadi tempat pembelajaran, malah turut berperanan menjamin kesejahteraan kanak-kanak.
Artikel lain: Dakwaan keterlaluan! Amirudin Shari nafi Selangor wujud hab penternakan khinzir berskala besar
“Penerima pun sudah dikenal pasti. Mekanisme hampir sama dengan Rancangan Makanan Tambahan yang telah lama berjalan.
“Yang paling penting, ini antara usaha kerajaan Selangor membantu ibu bapa akibat krisis Asia Barat yang melanda,” ujarnya.

Tambah beliau, pelaksanaan program itu akan dibuat melalui 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melibatkan semua peringkat murid dan pelajar.
Setiap PBT diperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan, sebelum diperluaskan sekiranya inisiatif berkenaan memberi kesan positif kepada masyarakat.
Sumber: FB Amirudin Shari






