Tidak ada niat tinggalkan industri seni

Tidak ada niat tinggalkan industri seni


syafil.syazwan@hmetro.com.my

MINAT yang membuahkan hasil. Itulah yang berlaku kepada penyanyi dan pelakon, Fareez Fauzi, yang kini layak ke pusingan akhir All Star Championship 2025 yang akan berlangsung hari ini.

Berkat niat murninya untuk memenuhi keperluan dan menampung kelangsungan hidup bersama isteri dan dua cahaya mata, Fareez, 28, diberikan semangat untuk meneruskan langkahnya di gelanggang seni bela diri itu.

“Saya hanya berharap agar Allah memberikan kemenangan dan rezeki buat saya. Mungkin jika ada rezeki dalam bidang sukan ini dan saya merasakan ia berbaloi dengan risiko yang saya hadapi, saya akan teruskan bermain lagi.

“Saya memang minat, tetapi tidaklah sampai merancang untuk menjadikannya sebagai kerjaya tetap,” katanya.

Berkongsi mengenai penyertaannya dalam pertandingan seni bela diri yang penuh risiko itu, Fareez juga tidak menyangka mendapat persetujuan isteri, Nurwathiqah Abdul Wahab.

“Saya tidak menyangka isteri saya begitu menyokong keputusan saya. Waktu hendak menandatangani persetujuan untuk menyertai pertandingan, saya menelefonnya terlebih dahulu.

“Tidak disangka, dia terus memberikan ‘green light’ (persetujuan), jadi saya pun terus menandatangani borang penyertaan. Dia tiada masalah, cuma kadangkala agak gementar juga.

“Saya tidak membawa anak dan isteri menonton pertandingan separuh akhir kerana anak yang masih kecil, tetapi mungkin di peringkat akhir, barulah saya akan bawa mereka.

“Apa yang saya lakukan ini sebenarnya hanya untuk mereka semua, bukan untuk menunjuk kuat atau mencabar sesiapa, tetapi untuk keluarga,” katanya.

Bagi anak kepada pelakon Fauzi Nawawi itu, dia juga kini lebih matang dalam mengatur strategi memandangkan pernah memiliki pengalaman dalam dunia sukan bela diri ketika di bangku sekolah.

Katanya, sejak sekolah lagi dia sudah mempunyai asas dalam seni mempertahankan diri.

“Saya pernah menyertai sukan Muay Thai dan bertanding dalam kejohanan Muay Thai amatur.

“Ketika itu, saya pernah menang, namun saya tidak begitu berpuas hati kerana merasakan saya terlalu gopoh,” ujarnya.

Biarpun dunia sukan bela diri jauh berbeza dengan dunia seni, namun, Fareez tidak berpendapat sedemikian.

Baginya, walaupun ada yang bertanya sama ada dia akan terus meninggalkan dunia seni dan fokus kepada sukan ini, Fareez ada jawapannya sendiri.

“Bagi saya, berlakon dan bertinju sebenarnya sama sahaja. Kedua-duanya memerlukan tenaga dan semangat. Waktu kita masih ada kudrat dan nama, orang akan ingat kita.

“Tetapi, apabila semuanya hilang, orang juga akan lupa. Begitulah dunia. Namun, saya tidak menolak kedua-duanya, saya masih cintakan kedua bidang ini,” katanya.

Ditanya mengenai karier muzik yang menjadi langkah awalnya dalam dunia seni, Fareez berkata, dia masih lagi aktif walaupun baru sahaja tamat kontrak selepas lima tahun bersama syarikat rakaman FMC.

Dia kini sedang mencari hala tuju baharu dalam karier muzik dan belum mempunyai sebarang perancangan atau tawaran daripada mana-mana label untuk bekerjasama dengannya.

Tidak menafikan bakal berdepan cabaran besar apabila perlu bergerak sendiri, Fareez menggunakan platform media sosial sebaik mungkin untuk mencari rezeki.

“Sebenarnya, agak mencabar untuk bergerak sendiri kerana kekurangan tenaga kerja, daripada proses menghantar lagu, kos rakaman, sehinggalah kepada promosi. Itu antara cabaran utama saya ketika ini.

“Tambahan pula, nama saya belum cukup besar untuk bergerak secara solo tanpa sokongan label. Akaun Instagram saya juga kini sudah baharu.

“Masih ada juga tawaran kerja yang datang melalui platform itu, cuma ramai yang tertanya-tanya ke mana hilangnya akaun lama saya.

“Selain itu, saya juga membuat ulasan (review) dan kerja-kerja affiliate di TikTok. Dari situ juga saya dapat menjana sedikit pendapatan tambahan,” katanya.

Fareez yang membantu perniagaan bapanya turut berharap agar pintu rezeki dia dan keluarga sentiasa terbuka luas.

Dia pernah menyertai program Mentor Milenia pada 2016 dan bergelar juara program itu. Selain itu, dia dan bapanya pernah menyertai program realiti Famili Duo pada 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top