DALAM satu temu ramah kira-kira tiga tahun sudah, ada seorang wanita memperkenalkan namanya sebagai Siti (sudah tentu bukan nama sebenar). Bapanya melarikan diri ke perairan Sabah ketika konflik besar tercetus di selatan Filipina, membabitkan pemberontakan bersenjata pada 70-an.
Walau Siti lahir di Sabah, tapi dia tidak mempunyai dokumen kerakyatan. Seumur hidup Siti merasa asing apabila tanah yang dipijak menolak keberadaannya. Siti dan keluarganya sebati membangun rumah kayu di selut, pinggir laut yang kemudian diruntuhkan pihak berkuasa. Dia kemudian mengutip kayu membangun semula rumah itu.“Kalau orang lain kerja dapat RM40, tapi kami yang tiada dokumen perlu bayar pihak yang ‘jaga’ kami RM10 seorang. ‘Mereka’ akan datang tiap bulan” katanya Siti dalam temu ramah tersebut. Saya teringat Siti ketika menonton Syurga Dalam Botol (SDB) arahan Ebi Kornelis.
Seorang pengkarya tidak akan berani membawakan isu sepenting dan serumit orang tanpa kerakyatan (OTK) atau stateless person jika tidak benar-benar memahaminya. Tapi kerana SDB ditulis dan diarahkan oleh Ebi, yang memang anak jati Sabah, dia berusaha membawakan cerita ini dengan bersungguh-sungguh. Setidaknya itu yang saya cermati ketika menonton filem ini.
SDB menelanjangkan hidup yang serba serbi kecamuk, rumit penuh ranjau yang dilalui hari-hari OTK senyata mungkin menerusi karakter Abdul dan keluarganya. OTK sukar mendapat kerja, tidak mampu mendapat rawatan kesihatan, juga mudah dieksploitasi penjenayah kerana identiti mereka sukar dikenalpasti.
Ketika Sabah ditampilkan begitu indah di dalam drama, pulaunya dipanggil Maldives of Borneo dalam poster promosi pelancongan, Ebi membawa kita melihat sisi lain. Kejar-kejar di atas bot dan perumahan OTK yang dibina di atas air dengan kayu-kayan yang tidak nampak kukuh, sampah-sampah terapung, rumah bersaiz kecil dipaksa berhimpit dengan kedudukan rapat-rapat. Dia cuma menampilkan segalanya senyata mungkin termasuk syot random orang-orang di penempatan itu.
Sebenarnya saya faham bahawa Ebi tidak mendapat bajet yang besar untuk filem ini membuatkan banyak peranan digalasnya sendiri baik sebagai pelakon, penulis lakon layar, pengarah seni dan pengarah.
Bagaimanapun, saya berpendapat cara bercerita dalam filem ini akan lebih lancar sekiranya Ebi mendapat khidmat penulis lakon layar yang lain atau setidaknya mempunyai pasukan penulis pembantu yang dapat memberikan cara pandang berbeza yang mungkin tidak sempat difikirkan Ebi.
Syurga Dalam Botol ada ketikanya terasa serabut, begitu banyak karakter sampingan yang mahu menjadi cerita utama. Ebi sepatutnya memfokuskan beberapa sahaja karakter mungkin dinamik antara Abul dan anaknya. Karakter lain hanya berlegar seputarnya.
Bahkan, ada beberapa karakter yang jika tidak wujud pun tidak mengapa, seperti wartawan Filipina, Kent yang entah kenapa menyita terlalu banyak ruang di dalam bingkai sedangkan tidaklah nampak berguna sangat, sekadar pikul kamera besar gedabak ke hulu-hilir yang boleh sahaja dirakam dengan telefon. Ia kompak dan penyamaran lebih selamat. Apalagi kisah cinta dengan kekasihnya ala model itu yang sedikit jelak.
Oleh sebab terlalu banyak karakter ingat disumbat di dalam cerita, banyak karakter tidak mengalami kematangan yang wajar dan membuat tindakan mengelirukan. Contohnya tiga budak yang entah datang daripada mana menjadi teman rapat Kent. Kenapa pula Kong tiba-tiba memeluk Kent kemudian bergaduh lagi keesokan harinya? Mengapa pula budak yang dilarikan dari tahanan penjenayah disuruh beli air sebab haus sampai dilanggar kereta?
Ebi perlu cermat memilih momen mana yang berharga dan penting untuk dimasukkan ke dalam filem. Saya menyukai karakter seorang guru yang mengajar anak-anak OTK, sayangnya sudut pandangnya tidak digali lebih dalam. Sekadar melontarkan beberapa dialog yang ala-ala skrip dokumentari.
Daripada fokus cerita penjenayah saling bergaduh berebut isteri Abdul, seronok juga kalau SDB boleh menyindir pihak penguasa yang kutip ‘duit tepi’ daripada OTK seperti diceritakan Siti dalam temu ramahnya.
Sangat tidak adil untuk mengatakan Syurga Dalam Botol filem yang corot kerana Ebi ada semangat membawakan sesuatu dalam naskhahnya yang mungkin tidak pernah berani disentuh mana-mana pengarah
Sabah sebelum ini. Ebi sekali gus membenarkan kata-kata seorang veteran yang juga pernah memenangi anugerah di Festival Filem Antarabangsa Asean kepada saya suatu masa dulu.
‘Aku yakin, pembikin Sabah ada potensi besar cuma tak banyak peluang. Mereka hebat, cuma kita belum nampak.