“Hakikat doa itu sebenarnya tanda seseorang itu tahu siapa dia dan siapa Allah”.
Demikian perkongsian selebriti popular, Noor Neelofa mengenai bagaimana menghidupkan hubungan dengan Allah melalui doa.
Menurut Neelofa, ramai dalam kalangan kita tersalah cara untuk meluahkan perasaan setiap kali berdepan ujian atau tekanan hidup malah, lebih cenderung mencari manusia untuk mendengar, berbanding bersujud dan mengadu kepada Sang Pencipta.
“Aku perlukanMu ya Rabb, aku penat. Ungkapan ni boleh relate dengan semua orang. Sebab di mana saat kita broken, kita penat, kita burnout, hakikatnya ramai akan cari manusia lain untuk kita luah. Untuk kita curahkan perasaan kita.
“Tapi sangat sikit, orang yang cari tempat untuk bersujud dan mencurahkan segalanya kepada Ya Khaliq (Yang menciptakan kita),” katanya.
Tambahnya lagi, manusia sering meletakkan keyakinan bahawa orang lain mampu membantu menyelesaikan masalah, sedangkan harapan sebenar seharusnya hanya disandarkan kepada Allah SWT.
“Sebab kita lebih yakin, yang manusia boleh bantu untuk keluarkan kita daripada masalah tu. Yang mana, kita kurang berharap dan bergantung kepada Alalh SWT,” jelasnya.
Neelofa berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya baru-baru ini.
Dalam pada itu, Neelofa menegaskan, hakikat doa bukan sekadar lafaz atau rutin, tetapi simbol kerendahan diri dan pengakuan seorang hamba terhadap kebesaran Allah.
“Kita nak bercakap tentang bagaimana untuk menghidupkan koneksi dengan Allah melalui doa. Dimana ramai mengingat doa itu adalah satu ritual, bukan connection.
“Dan hakikat doa itu sebenarnya tanda seseorang itu tahu siapa dia dan siapa Allah. Bagaimana kita ingin merendah dihadapan Allah untuk memohon doa,” ujarnya.
Sekadar info, Neelofa kini sedang sibuk membuat persiapan untuk sebuah acara iaitu, ‘Ya Rabb Aku Perlukanmu Aku Penat’ bersama-sama dengan, PU Riz, Nora Danish dan Ustaz Amin yang akan berlangsung pada 15 November depan.






