anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Guna modus operandi ‘jijik’ dengan menjadikan premis penyembelihan ternakan babi sebagai markas strategik untuk menyembunyikan diesel subsidi.
Itu antara taktik digunakan sindiket yang dikesan aktif menyeleweng dan mengumpul diesel subsidi di lokasi tersorok berhampiran Ayer Tawar, Perak.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kegiatan haram itu berjaya dibongkar pihaknya baru-baru ini hasil risikan sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, serbuan kemudian dilakukan jam 5 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat Kuasa KPDN Negeri Perak, Cawangan Manjung menerusi operasi Ops Tiris 2025 di premis penyembelihan khinzir itu.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan diesel subsidi daripada stesen-stesen minyak sekitar daerah Manjung.
“Diesel itu kemudian dipindahkan ke dalam tangki besar yang disimpan di dalam premis sembelihan babi itu. Ia dijadikan stor simpanan bagi kegunaan sendiri serta jualan semula tanpa permit sah,” katanya.
Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan serbuan menjumpai sebanyak 2,000 liter diesel disimpan di dalam tangki.
“Dua lelaki tempatan berusia 39 dan 49 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori serta kelindan ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan berkenaan.
“Sehubungan itu, semua diesel, lori dan enam tangki beserta pam bernilai RM42,680 disita,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
“Mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“KPDN ingin memberikan peringatan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam aktiviti atau sindiket penyelewengan barang-barang kawalan dan akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah.
“KPDN akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan melalui Inisiatif KITA GEMPUR sebagai langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa dalam menangani isu manipulasi aktiviti perniagaan termasuk usaha mencegah penyelewengan barang kawalan, mengekang penipuan perniagaan dalam talian (e-dagang), membanteras monopoli dan kewujudan kartel,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






