Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat Johor memerlukan pimpinan dan wakil rakyat yang bijak menilai keutamaan, berani membuat keputusan serta benar-benar memahami denyut nadi rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
“Johor ke depan, undi Harapan”
Menerusi satu klip video yang dimuat naik di Facebook rasminya, Anwar berkata PH akan terus membawa suara rakyat, mempertahankan kepentingan negeri dan memacu Johor menjadi lebih maju untuk semua.
“Johor Ke Depan. Undi HARAPAN,” kata Anwar menerusi klip video di Facebook rasmi beliau bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menyeru seluruh jentera PH supaya bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon-calon gabungan itu pada pilihan raya kali ini.
“Kita nak pilih wakil rakyat dan pimpinan yang mewakili kepentingan rakyat di Johor, rakyat Malaysia, Melayu, Cina, India work together, build this nation, angkat negeri ini menjadi hebat,” katanya.
Anwar turut memulakan kempen hari pertama PH di Johor dengan menghadiri tujuh program di beberapa kawasan bagi menyantuni rakyat serta memberi sokongan kepada calon-calon gabungan tersebut.
Program yang dihadiri beliau merangkumi sesi pertemuan bersama rakyat, ceramah, ramah mesra dan aktiviti bersama komuniti setempat sebagai usaha memperkukuh sokongan pengundi menjelang hari pengundian.
Pada PRN Johor kali ini, PH mempertaruhkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), melibatkan 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.
Secara keseluruhan, seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN, dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.







