Dahulu, perbuatan buli kebiasaannya berakhir di pagar sekolah, namun hari ini sempadan itu hilang sepenuhnya.
Kewujudan media sosial membolehkan serangan berlaku di mana-mana. Malah lebih menyakitkan apabila ia datang daripada ribuan akaun tanpa wajah sebenar.
Penyanyi Rap MK yang mengaku pernah dibuli dan juga membuli di bangku persekolahan menegaskan budaya buli ketika itu tidak seteruk sekarang.
“Tapi waktu itu kita membuli bukan tahap seperti apa yang berlaku sekarang ini. Dulu buli sekadar mengejak nama bapa, tidaklah sampai tahap nak mencederakan orang,” katanya.

Situasi yang sama turut dialami pelakon Mia Sara, yang mendedahkan dia pernah dipukul, dibaling batu dan dihina rakan sebaya hanya kerana bergelar artis pada usia muda.
“Mereka buli saya, mengejek, baling batu dan pernah juga pukul saya. Saya sedih juga dan kadang-kala rasa geram. Tetapi ayah pesan, biar orang buat kita, tetapi jangan kita buat orang,” ujarnya.
Dalam usia muda, tekanan mental akibat cemuhan sebegitu sukar dibayangkan. Ramai yang beranggapan kanak-kanak yang menjadi artis hidup senang, tapi realitinya mereka juga berdepan kejamnya buli.

Bella Astillah pula mendedahkan dia turut dibuli di sekolah rendah kerana bercakap dalam dialek Sabah sehingga dianggap orang Indonesia.
“Saya lawan balik tapi tak semua orang ada keberanian itu, cuma saya mahu tegaskan kejadian buli sama ada kecil atau besar kita kena beri tahu dan jangan simpan sahaja,” katanya.

Daripada ejek nama bapa, sehingga hina loghat dan kerjaya, semua ini menunjukkan budaya buli tidak mengenal sempadan. Bezanya kini, serangan tidak berhenti di sekolah. Ia lebih ‘ganas’ apabila berpindah ke ruang komen dan mesej peribadi pula.
Di media sosial, sesiapa pun boleh melontar kata-kata kesat tanpa perlu berdepan dengan mangsa. ‘Keyboard warrior’ menjadi pelaku utama,dan setiap komen boleh menjadi luka yang tidak nampak di mata.
Bentuk buli moden ini sering bermula secara kecil sama ada sindiran halus, meme atau komen ‘gurau kasar’, sebelum menjadi serangan besar-besaran yang menjejaskan mental seseorang.
Lebih membimbangkan, ramai remaja kini menganggap buli siber sebagai perkara biasa. Ia seolah-olah sebahagian daripada budaya media sosial, sedangkan kesannya boleh membawa trauma jangka panjang.
Dalam banyak kes, mangsa memilih untuk berdiam diri. Ada yang cuba melawan tetapi akhirnya berundur kerana tekanan berterusan. Ada juga yang menanggung emosi sendirian tanpa tahu kepada siapa harus mengadu.
Peka dengan permasalahan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil telah memimpin inisiatif dan kempen untuk mempromosikan Internet yang selamat di negara ini bermula 2025.

Kempen Internet Selamat (KIS) merupakan antara usaha Kerajaan Madani bagi membendung isu keselamatan digital termasuk penipuan dalam talian, judi digital, kandungan seksual kanak-kanak serta penyalahgunaan media sosial.
Kata Fahmi, inisiatif berkenaan mampu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan inklusif, sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Marilah kita mainkan peranan bersama-sama dalam membina ruang digital dan bukti komunikasi yang positif dengan mengimbas kisah kejayaan, inspirasi serta nilai-nilai murni yang mampu mengangkat, bukan mengecam identiti. Inilah bentuk tanggungjawab kolektif,” katanya
KIS memberi tumpuan kepada literasi digital dan pendidikan emosi, khususnya untuk golongan muda yang terdedah kepada tekanan dunia siber. Ia juga menyasarkan ibu bapa, guru dan warga emas supaya lebih peka dengan risiko buli digital.
Kempen seperti ini diharap dapat mengubah cara masyarakat berkomunikasi di ruang maya. Daripada mengejek kepada menyokong, daripada menghina kepada memahami.

Isu buli bukan sekadar tentang siapa mangsa dan siapa pelaku, tetapi tentang sejauh mana kita semua membiarkan budaya ini berakar. Menyindir dan memalukan orang lain tidak pernah menjadikan sesiapa lebih hebat.
Apa yang ramai lupa, setiap komen yang ditulis mencerminkan nilai dan empati diri sendiri. Dunia digital boleh menjadi tempat yang selamat jika kita mahu ia begitu.
Buli mungkin bermula dengan kata-kata, tapi kesannya boleh merosakkan masa depan seseorang. Ia bukan sekadar isu remaja, tetapi cerminan kepada masyarakat yang semakin hilang sensitiviti.
Dalam era di mana ‘FYP’, ‘views’ dan ‘likes’ dijadikan ukuran, ramai yang terlupa bahawa di sebalik skrin itu ada manusia sebenar. Sedikit empati mampu menyelamatkan banyak hati.
Dunia tanpa buli siber bukanlah mustahil! Ia hanya perlukan satu perkara iaitu keberanian untuk berkata baik di tempat yang orang lain memilih untuk menghina.





