Sriharikota, India: India pada Ahad melancarkan satelit komunikasi terberatnya yang menandakan satu lagi langkah penting dalam program angkasa lepas negara itu yang bercita-cita tinggi.
Satelit CMS-03 itu dilancarkan dari Sriharikota di negeri selatan Andhra Pradesh pada 5.26 petang (1156 GMT).
“Sektor angkasa lepas kita terus membanggakan negara!” kata Perdana Menteri Narendra Modi yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk menghantar angkasawan India ke Bulan menjelang 2040.
Dengan berat kira-kira 4,410 kilogram, ia adalah “satelit komunikasi terberat” yang dilancarkan di negara itu, kata Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) pada Khamis.
Tentera Laut India berkata, satelit itu akan membantu “mengukuhkan hubungan komunikasi antara kapal, pesawat, kapal selam.”
Satelit CMS-03 itu dihantar ke orbit dari kenderaan pelancar LVM3-M5 setinggi 43.5 meter.
Ia adalah versi roket yang dinaik taraf yang melancarkan kapal angkasa tanpa pemandu India yang mendarat di Bulan pada Ogos 2023.
Hanya Rusia, Amerika Syarikat dan China sebelum ini yang berjaya melakukan pendaratan terkawal di permukaan bulan.
Negara itu menunjukkan cita-cita besar dalam penerokaan angkasa lepas sepanjang dekad lalu dengan program angkasa lepasnya berkembang pesat dari segi saiz dan momentum.
Tahun ini, Shubhanshu Shukla, seorang juruterbang ujian Tentera Udara India menjadi rakyat India kedua ke angkasa lepas dan yang pertama tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa, satu pencapaian penting ke arah misi berawak India yang dijadualkan pada 2027.
© New Straits Times Press (M) Bhd






