DALAM dunia serba pantas hari ini, ramai daripada kita mudah naik angin hanya kerana perkara-perkara yang kecil seperti kesesakan jalan raya, urusan kerja dan pergaduhan hal kecil suami isteri di rumah.
Pendakwah, Ustazah Asmak Husin dalam menjelaskan mengenai masalah panas baran dalam rumah tangga, beliau berkata, sedahsyat mana pun masalah suami isteri itu, jangan sesekali abaikan kebajikan dan perasaan anak-anak.
“Anak-anak yang membesar dalam broken family biasanya akan mempengaruhi masa depan mereka.
USTAZAH ASMAK
“Lelaki sifatnya pelindung kepada wanita seperti yang digagaskan dalam al-Quran tentang kepimpinan lelaki,” katanya dalam Facebook miliknya pada Isnin.
ALLAH SWT berfirman: “Lelaki (suami) itu pelindung bagi wanita (isteri).” (Surah an-Nisa’: 34)
Menurutnya, sebagai seorang lelaki, dia mesti bijak menguruskan marah dan baran.
“Jangan menggunakan kelebihan kekuatan yang ALLAH beri untuk menzalimi wanita dan kanak-kanak. Itu dayus namanya,” jelasnya.
Ustazah Asmak kemudiannya berkongsikan 5 tip mengawal marah:
1 – Ketika datang rasa marah, istighfar terlebih dahulu supaya emosi dapat bertenang.
“Kenapa perlu istighfar?
“Perlu diingatkan marah yang berlebihan itu datang daripada bisikan dan hasutan syaitan. Oleh itu perbanyakkan istighfar agar api kemarahan dapat diredakan,” hurainya.

ANAK-ANAK akan mengalami kesan emosi mendalam jika tinggal dalam rumah tangga yang sering bergaduh. Foto Canva
2 – Marah mesti bertempat.
Ujarnya, dalam diri seorang lelaki perlu ada sifat pemarah, iaitu marah apabila perkara berkaitan agama dipermainkan atau marah apabila ahli keluarga melakukan perkara yang dimurka ALLAH.
“Marah mesti atas asbab mendidik. Ini tidak, kesalahan isteri atau anak-anak hanya kecil sahaja, namun habis semua makian dan cacian dilemparkan kepada mereka.
“Hati wanita dan anak-anak ini halus, bayangkan betapa terlukanya mereka kerana kata-kata suami yang menyakitkan itu,” katanya.
3 – Apabila berlaku pergaduhan suami isteri, satu pihak mesti mengalah.
Menurut Ustazah Asmak, mengalah bukan bermakna kita kalah, tapi untuk menenangkan dan meredakan keadaan sebelum ia menjadi lebih parah.
4 – Mesti meletakkan had dalam marah.
Katanya, apa yang menyebabkan kes pukul isteri dan anak-anak, pecahkan barang dalam rumah itu adalah kerana marah yang tiada had dan tidak boleh dikawal.
“Ingat ya, Rasulullah SAW menyatakan antara ciri-ciri orang beriman ialah mereka yang mampu mengawal marah,” katanya.
5 – Diam.
Menurutnya, apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.

ISLAM telah meletakkan garis panduan yang terbaik dalam urusan rumah tangga. Foto Canva
Beliau kemudian bertanya: Mengapa perlu diam jika sedang marah?
“Apabila kita berada dalam keadaan marah, kata-kata yang keluar itu seakan-akan sudah lupa dunia.
“Semua (kata-kata) keluar tanpa befikir panjang, lalu itu yang menyebabkan bertikam lidah dan pergaduhan lebih besar serta memudaratkan,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Ramai mudah naik angin akibat kecil seperti kesesakan jalan dan urusan kerja Ustazah Asmak Husin berkata jangan abaikan perasaan anak-anak dalam masalah rumah tangga Anak-anak dalam broken family biasanya terjejas masa depannya Lelaki digambarkan sebagai pelindung wanita menurut al-Quran Ustazah Asmak berkongsi 5 tip mengawal marah termasuk istighfar, marah mesti bertempat, mengalah dalam pergaduhan, meletakkan had dalam marah dan diam apabila marah






