PETALING JAYA: Penyerang import Selangor FC Chrigor Moraes muncul watak utama apabila meledak dua gol untuk membantu Gergasi Merah menewaskan Nam Dinh FC 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Kemenangan itu memberikan kelebihan tipis buat skuad kendalian Kim Pan Gon menjelang pertemuan timbal balik di Stadium Thien Truong pada 13 Mei ini, namun cabaran lebih getir menanti skuad Gergasi Merah di gelanggang lawan.
Pasukan pelawat bermula lebih agresif dengan beberapa percubaan berbahaya, termasuk rembatan kencang Jose Walber yang memaksa penjaga gol tuan rumah, Sikh Izhan Nazrel bekerja keras untuk menyelamatkan gawang daripada dibolosi.
Tekanan berterusan Nam Dinh hampir membuahkan hasil apabila Chadrac Akolo mencipta peluang keemasan, namun ketangkasan Sikh Izhan sekali lagi menjadi benteng kebal buat Gergasi Merah.
Selangor bagaimanapun mencuri tumpuan apabila berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-38 menerusi penyudah Moraes hasil hantaran lintang Quentin Cheng.
Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila pertahanan lawan, Nguyen Van Vi menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat untuk mengikat kedudukan 1-1.
Memasuki babak kedua, Selangor memperkemas rentak permainan dan hasilnya Moraes sekali lagi menjadi pemisah apabila tenang menyempurnakan peluang pada minit ke-59 untuk mengembalikan kelebihan tuan rumah.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tiada jaringan tambahan diperolehi dan keputusan kekal sehingga wisel penamat, sekali gus meletakkan Selangor memiliki kelebihan satu gol.-UTUSAN






