Isu pelaburan RM1.1 bilion: Rakaman percakapan Rafizi bersambung esok

Isu pelaburan RM1.1 bilion: Rakaman percakapan Rafizi bersambung esok


harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dijangka hadir buat hari keempat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi proses rakaman percakapan di Putrajaya esok.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata proses rakaman percakapan Rafizi hari ini berlangsung selama 5 jam dan selesai pada 7 malam tadi.

“Rafizi telah tiba di Ibu Pejabat SPRM sekitar jam 2 petang. Rakaman percakapan beliau pada hari ketiga selesai kira-kira jam 7 malam.

“Rakaman percakapan akan bersambung untuk hari keempat esok yang dijangka dibuat sebelah pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Rafizi dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion di antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semi konduktor.

Terdahulu, Rafizi berkata, beliau memberi kerjasama penuh dalam sesi merakam keterangan hari pertama itu dan tidak menolak kemungkinan proses berkenaan akan mengambil masa beberapa hari.

Sebelum ini, bekas pembantunya, Chai Jin Shern atau James Chai diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan kes sama.

Rafizi disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dengan SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu, susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah hingga boleh memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.

Sebelum itu akhbar ini melaporkan Ahli Parlimen Pandan itu hadir ke SPRM 4 Mei lalu dan proses soal siasat berjalan selama 8 jam sebelum disambung semula keesokan harinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top