June 24, 2024

Afidavit Zahid beri impak positif terhadap UMNO – Penganalisis


KUALA LUMPUR – Afidavit yang difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi sebagai saksi kritikal berkaitan bekas Datuk Seri Najib Razak dilihat akan memberi kesan positif terhadap perpaduan dan keharmonian dalam UMNO.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kemunculan afidavit itu membuktikan Presiden UMNO tersebut sehingga kini masih konsisten menyokong pembebasan Najib.

Malah beliau berkata, ia sekaligus akan menyanggah dakwaaan yang bertebaran mengatakan Ahmad Zahid tidak lagi membantu Najib.

Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang.

“Afidavit yang dibuat Datuk Seri Zahid Hamidi adalah satu bukti bahawa hubungan, sokongan keakraban dan kemesraan serta dokongan Zahid terhadap Datuk Seri Najib jelas terbukti dan terserlah.

“Ini boleh memberikan pencerahan dan merapatkan perpaduan dalaman UMNO sendiri kerana sebelum ini ada pihak prejudis dan mendakwa kononnya Zahid tidak menyokong pembebasan Najib. Jadi afidavit ini membuktikan sebaliknya. Ini boleh memberikan ketenteraman dan menyatukan dalaman UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sebagai rekod, pada 9 April lalu, Ahmad  Zahid mengikrarkan afidavit  menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah tersebut berkaitan kebenaran untuk Najib diberikan hukuman pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Berdasarkan afidavit, Ahmad Zahid berkata, kewujudan titah itu dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights pada 30 Januari lalu.

Mengulas lebih lanjut, Awang Azman yakin perkembangan semasa itu akan membuka mata pihak yang prejudis terhadap Ahmad Zahid termasuk dalam kalangan ahli UMNO sendiri.

“Jadi, afidavit ini membuktikan bahawa usaha-usaha dilakukan dengan penuh teknikal dengan langkah yang bijaksana dan dibuat secara strategik dan menunggu masa yang sesuai untuk didedah dan dilakukan.

“Tindakan ini dapat membuka mata kepada pihak yang prejudis yang mendakwa kononnya Zahid tidak mendokong usaha pembebasan Najib,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau juga optimis Kerajaan Madani akan menangani isu persepsi yang bakal berbangkit susulan kemunculan afidavit itu dengan baik demi kemaslahatan semua pihak khususnya Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

“Barangkali ia melibatkan tafsiran undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan misalnya mengenai tahanan di rumah, begitu juga dari segi tafsiran undang-undang yang lain misalnya limitasi kuasa YDPA atau isu adakah perkara tambahan tersebut perlu dibawa kepada Lembaga Pengampunan sekali lagi.

“Kerajaan Madani juga saya kira akan mengambil jalan yang jernih, keputusan yang tidak terburu-buru untuk memastikan hak keadilan itu dapat diberikan. Saya yakin Kerajaan Madani akan menangani isu ini dengan tenang, sabar dan lebih berhati-hati supaya tidak menjejaskan semua pihak,” tambah Awang Azman.

Sementara itu, beliau berharap semua pihak perlu bertenang dan menyerahkan pihak mahkamah untuk membuat keputusan.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top