Ahmad Faezal minta kemuka bukti! Individu padam hantaran dakwa peserta Sumud dibayar RM40,000

Ahmad Faezal minta kemuka bukti! Individu padam hantaran dakwa peserta Sumud dibayar RM40,000


Seorang pengguna platform Threads dikenali sebagai Syafiq dipercayai telah memadam hantaran yang mendakwa peserta Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) menerima bayaran sehingga RM40,000 seorang.

Dakwaan tersebut sebelum ini tular di media sosial selepas Syafiq mendakwa setiap peserta menerima bayaran berkenaan serta tidak menggunakan wang sendiri untuk menyertai misi kemanusiaan tersebut.

Bagaimanapun, hantaran itu dipercayai “hilang” selepas pempengaruh dan penulis analisis geopolitik, Ahmad Faezal meminta Syafiq mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan yang dibuat.

Ahmad Faezal turut mencabar Syafiq untuk menjelaskan cara tuntutan bayaran tersebut dilakukan sekiranya dakwaan itu benar, sambil membalas secara sinis di ruangan komen.

“Salam Syafiq, bagitahu kejap cara nak claim RM40,000 ni.
“Kalau saya dapat, saya kongsi 10% dekat Syafiq. Deal?” tulisnya.

Menariknya, selepas hantaran berkenaan dipadam, akaun Syafiq turut didakwa mengehadkan fungsi interaksi di media sosial seperti komen dan sebutan (mention).

Dalam perkembangan berkaitan, aktivis GSF 2.0, Musanuwayri turut mencuri perhatian apabila berseloroh di ruangan komen dengan menyatakan rasa “ralat” kerana baru berangan untuk menuntut bayaran RM80,000 selepas menyertai misi tersebut sebanyak dua kali.

“Laa delete pulak. Baru nak claim RM80k sebab dah join kali kedua,” tulisnya.

Sebelum ini, Syafiq turut mendakwa bahawa peserta GSF 2.0 menerima bayaran RM40,000 seorang serta meragui penglibatan beberapa individu termasuk bekas wartawan dan peserta misi, Zainal Rashid Ahmad, selain Ardell Aryana dan Heliza Helmi.

Setakat ini, tiada sebarang bukti atau pengesahan rasmi dikemukakan berhubung dakwaan yang tular tersebut, manakala orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai maklumat tidak sahih di media sosial.





Source link

OR

Scroll to Top