June 14, 2024

Akses Pihak Ketiga industri bekalan tenaga dilaksana September ini – TPM


PONTIAN –  Akses Pihak Ketiga dalam industri bekalan tenaga negara ini dijangka akan dilaksanakan kerajaan mulai September ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagaimanapun berkata, pengumuman itu hanya akan diumumkan secara rasmi pada Julai nanti.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memberitahu, perancangan mengenai pelaksanaan Akses Pihak Ketiga bekalan tenaga negara itu juga sedang berjalan.

“Tarikh penguatkuasaan inisiatif itu pada asalnya dirancang pada tahun hadapan tetapi diawalkan ke tahun ini.

“Menerusi Akses Pihak Ketiga bekalan elektrik ini bermakna ada pihak lain boleh membekalkan tenaga sekiranya ada pelanggan mereka sendiri.

“Pihak ketiga boleh bekalkan buat power generation (penjanaan kuasa) sendiri dan bekalkan terus kepada pelanggan mereka tetapi akan menumpang transmission line TNB (Tenaga Nasional Berhad),” katanya.

Beliau berkata demikian  pada sidang media selepas Pelancaran Inisiatif Kombinasi Pembakaran Arang Batu bersama Biojisim di Loji Janakuasa Tanjung Bin, Kukup hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, kerajaan yakin dapat mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida (Co2) sebanyak 10 juta tan setahun dengan meningkatkan penggunaan biojisim sebagai bekalan tenaga.

Sasaran itu dapat dicapai dengan menyasarkan 40 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui dalam campuran bahan api negara.

“Kementerian sentiasa komited dalam meningkatkan kapasiti tenaga diperbaharui sehingga mencapai sifar bersih pada tahun 2050,” ujarnya.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top