Aktivis flotilla Gaza dipukul, dua dibawa ke Israel

Aktivis flotilla Gaza dipukul, dua dibawa ke Israel

Aktivis flotilla Gaza dipukul, dua dibawa ke Israel


ATHENS: Puluhan aktivis flotila bantuan menuju Gaza yang dipintas berhampiran Crete mengadu dipukul teruk dan dicederakan oleh tentera Israel dengan dua daripada mereka dilaporkan dibawa ke Israel untuk siasatan lanjut.

Kumpulan tersebut mula meninggalkan bot mereka sejak semalam, dengan sebahagian dihantar ke hospital di pulau Greek itu manakala yang lain diterbangkan ke luar negara.

Pegawai Greece berkata, 31 daripada kira-kira 175 aktivis dimasukkan ke hospital di Crete. Pegawai Turkiye pula memaklumkan kira-kira 60 orang tiba dengan pesawat di Istanbul pada Jumaat malam.

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein berkata, semua aktivis flotila kini berada di Greece kecuali Saif Abu Keshek dan Thiago Avila.

Dalam satu hantaran di platform X, kementerian itu menyifatkan flotila tersebut sebagai satu lagi provokasi yang bertujuan mengalih perhatian daripada keengganan Hamas untuk melucutkan senjata. Ia juga menyatakan flotila itu digunakan oleh ‘provokator profesional’.

Keshek didakwa disyaki mempunyai kaitan dengan organisasi pengganas, manakala Avila pula disyaki terlibat dalam ‘aktiviti haram’ dan kedua-duanya akan dibawa ke Israel untuk siasatan.

Lebih 50 buah kapal belayar dari pelabuhan di Perancis, Sepanyol dan Itali dengan tujuan memecahkan sekatan ke atas Gaza dan menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin itu.

Tentera Israel menghentikan bot-bot tersebut pada malam Rabu hingga Khamis, dengan penganjur Global Sumud Flotilla (GSF) berkata, peralatan mereka telah dimusnahkan dan campur tangan itu menyebabkan mereka berdepan ‘perangkap maut yang dirancang di laut’.

Jawatankuasa GSF memaklumkan mereka yang cedera termasuk aktivis dari beberapa negara, antaranya empat masing-masing dari New Zealand dan Australia; tiga masing-masing dari Itali dan Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, dua lagi masing-masing dari Kanada, Belanda, Sepanyol, United Kingdom, Colombia dan Jerman serta seorang masing-masing dari Hungary, Ukraine, Perancis, Poland dan Portugal.

Dalam kenyataan berasingan, kumpulan itu berkata, aktivis yang ditahan semasa pintasan berkenaan turut diperlakukan secara buruk di atas kapal tentera laut Israel selama hampir 40 jam.

Kumpulan itu mendakwa tahanan sengaja tidak diberikan air dan makanan yang mencukupi serta dipaksa tidur di atas lantai basah.

Beberapa kerajaan Eropah yang rakyatnya terlibat telah menggesa Israel membebaskan aktivis tersebut, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa.

Sepanyol turut menuntut pembebasan segera Keshek, yang merupakan warganegara Sepanyol.

AS menyifatkan flotila itu sebagai ‘aksi publisiti’ dan berkata kapal-kapal tersebut sepatutnya dihalang daripada memasuki pelabuhan atau menerima bekalan.

Jabatan Negara AS berkata, ia sedang mempertimbangkan untuk mengenakan tindakan balas terhadap pihak yang menyokong flotila itu.-AFP/AGENSI



Source link

OR

Scroll to Top