Anak bekas senator dihukum penjara 132 tahun

Anak bekas senator dihukum penjara 132 tahun

Anak bekas senator dihukum penjara 132 tahun


Bangkok: Mahkamah Jenayah di sini, menjatuhkan hukuman penjara selama 132 tahun dan enam bulan terhadap anak lelaki kepada bekas senator negara itu selepas didapati terbabit kes perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

Menurut sumber mahkamah kepada Bangkok Post, waran tangkap dikeluarkan terhadap Narote Piriyarangsan kerana gagal hadir keputusan kesnya di mahkamah pada 27 April.

Narote antara sembilan tertuduh dalam kes berkenaan dan satu-satunya yang dibenarkan ikat jamin selepas pertuduhan dikemukakan pada 31 Oktober 2025.

Tertuduh adalah anak kepada bekas senator Sangsit Piriyarangsan, seorang ahli ekonomi serta pakar dalam isu rasuah dan perjudian.

Narote yang berusia 33 tahun ketika ditahan pada Julai 2024 kerana didakwa memiliki dan mengendalikan sistem pembayaran bagi rangkaian perjudian dalam talian.

Polis turut merampas aset bernilai lebih 400 juta baht (kira-kira RM48 juta).

Berdasarkan pertuduhan, kumpulan berkenaan mengendalikan platform perjudian dalam talian secara haram melalui media elektronik, dengan menarik pengguna melalui laman web yang boleh diakses umum dan dikaitkan dengan akaun bank, antara 28 Disember 2023 hingga 27 Mei 2024.

Siasatan mendapati rangkaian itu beroperasi melalui struktur teratur termasuk pengurus laman web, pentadbir sistem, pemegang ‘akaun keldai’ (mule account) serta pemproses pembayaran yang berkait dengan sistem VPay dan Heng Pay dengan pengguna perlu memindahkan wang ke akaun ditetapkan sebelum mendapatkan akses.

Mahkamah juga mendapati kumpulan terbabit bersubahat melakukan pengubahan wang haram dengan menubuhkan syarikat proksi yang menyamar sebagai perniagaan runcit dalam talian untuk mendapatkan sistem pembayaran kod QR dan transaksi berkaitan penipuan itu melebihi 2 bilion baht (kira-kira RM244 juta).

Narote menerima hukuman paling berat kerana dalang utama dalam mengurus rangkaian serta mengawal saluran pembayaran yang digunakan untuk memindahkan dan menyembunyikan wang haram.

Walaupun jumlah hukuman keseluruhan mencecah 132 tahun enam bulan, undang-undang Thailand mengehadkan tempoh maksimum penjara kepada 20 tahun.

Tertuduh lain iaitu Narayut Narakaew, pemilik laman perjudian, dijatuhi hukuman penjara 17 tahun 8 bulan atas kesalahan mempromosi atau membenarkan perjudian dalam talian haram serta pengubahan wang haram.

Beberapa entiti korporat pula dikenakan denda antara 1 juta hingga 13.7 juta baht, manakala dua individu dipenjarakan masing-masing selama satu tahun lapan bulan.

Aset yang dikaitkan dengan kesalahan termasuk tanah, barang kemas dan kenderaan mewah turut diperintahkan dilucut hak oleh mahkamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top