PERBINCANGAN mengenai minyak bersubsidi bukan lagi isu kecil dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pelbagai langkah baharu diumumkan bagi menangani ketirisan dan penyalahgunaan subsidi.
Antaranya penguatkuasaan larangan yang lebih tegas terhadap pembelian petrol RON95 oleh kenderaan asing yang akan dilaksanakan mulai 1 April bagi mengelakkan penyeludupan dan pembelian tidak sah.
Selain itu, pihak berkuasa juga meningkatkan operasi membanteras penyelewengan. Dalam satu kes terbaru, seorang lelaki ditahan kerana menyeleweng 2,250 liter diesel subsidi menggunakan tangki tambahan pada kenderaan.
Di Sarawak pula, pihak berkuasa mengesan pangkalan haram penyeludupan minyak, menunjukkan bahawa aktiviti ini masih berlaku dan memerlukan tindakan berterusan.
Langkah kawalan turut diperketatkan melalui penetapan kuota dan had pembelian bahan api bagi mengelakkan penimbunan serta penyeludupan, terutama di kawasan sempadan.
Ini semua menunjukkan bahawa isu minyak subsidi bukan sekadar persepsi, tetapi satu realiti yang sedang dihadapi negara.
Subsidi untuk rakyat, jangan disalah guna
Subsidi minyak diwujudkan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat. Ia bukan keuntungan individu, tetapi satu bentuk kemudahan awam yang dikongsi bersama.
Apabila subsidi ini digunakan untuk tujuan selain kegunaan domestik atau dijadikan sumber keuntungan peribadi, maka ia telah menyimpang daripada tujuan asal.
HARGA minyak mentah terus meningkat menyebabkan harga di pasaran turut naik. Foto Canva
ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan cara yang batil (salah).” (Surah al-Baqarah: 188)
Ayat ini merangkumi segala bentuk pengambilan harta tanpa hak, termasuk penyelewengan kemudahan awam. Isu ini menjadi lebih serius apabila kos subsidi semakin meningkat.
Dalam perkembangan terkini, perbelanjaan subsidi bahan api melonjak daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh singkat akibat kenaikan harga minyak global.
Kenaikan ini berlaku kerana konflik geopolitik yang menjejaskan bekalan minyak dunia, sekali gus meningkatkan harga pasaran. Kerajaan terpaksa menanggung kos tinggi bagi memastikan rakyat terus menikmati harga lebih rendah.
Dalam situasi sebegini, setiap ketirisan subsidi memberi kesan besar kepada kewangan negara.
Pengkhianatan terhadap amanah awam
Subsidi yang diberikan kepada rakyat adalah amanah. Menggunakannya secara tidak sah bermakna mengkhianati amanah tersebut.
Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati ALLAH dan rasul. Dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Anfal: 27)

PENYELUDUPAN minyak yang berlaku menyebabkan kerugian besar kepada negara. Foto Canva
Dalam konteks ini, penyalahgunaan subsidi bukan sahaja kesalahan undang-undang, tetapi juga pelanggaran amanah yang lebih besar.
Dalam perbahasan fiqh, mengambil harta awam tanpa hak dikenali sebagai ghulul. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang menggelapkan sesuatu, dia akan datang membawanya pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Walaupun keuntungan yang diperoleh mungkin kecil, ia tetap termasuk dalam kategori mengambil harta awam tanpa hak.
Peraturan berkaitan subsidi dibuat untuk menjaga kepentingan rakyat. Kaedah fiqh ada menyebut: “Tindakan pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahat (kepentingan awam).”
Melanggar peraturan ini bukan sekadar kesalahan individu, tetapi menjejaskan kesejahteraan masyarakat.
Ada juga segelintir pihak yang terlibat secara tidak langsung seperti meminjamkan kad pengenalan atau membantu pihak tertentu mengisi minyak.
Walaupun kelihatan kecil, ia tetap termasuk dalam membantu perbuatan salah. ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah: 2)
Kesan kepada rakyat
Apabila subsidi diseleweng, ketirisan akan berlaku. Kerajaan terpaksa mengawal kuota, mengetatkan peraturan dan mengkaji semula bantuan. Akhirnya, rakyat yang memerlukan turut terkesan.
Kaedah fiqh menyebut: “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan.”

TIADA guna duit yang banyak jika ia diperoleh dari sumber yang tidak halal. Foto Canva
Penyelewengan subsidi jelas membawa mudarat kepada masyarakat. Persoalannya, berbaloikah keuntungan kecil yang diperoleh jika ia mengakibatkan kerugian besar kepada masyarakat?
Rezeki yang diberkati bukan diukur pada jumlah semata-mata, tetapi pada halal dan keberkatannya. Menjaga subsidi bermakna menjaga amanah bersama.
Jika setiap individu memelihara amanah ini, manfaatnya akan kembali kepada masyarakat itu sendiri. Semoga kita dijauhkan daripada penyalahgunaan amanah dan dikurniakan rezeki yang halal lagi diberkati.
***Penulis, USTAZ MUHAMMAD NUR HAFIDZ ABD NASIR merupakan Perunding Pewarisan Harta Islam, Nurha Consultancy





