MALAYSIA dilaporkan mempunyai lebih 260,000 kilometer jaringan jalan raya yang diiktiraf antara paling baik diselenggara di rantau ini pada tahun lalu.
“Namun, amat mendukacitakan apabila kadar kemalangan jalan raya terus meningkat saban tahun dan berita kemalangan yang meragut nyawa melalui pelbagai media sentiasa disajikan,” ucap khatib pada permulaan khutbah Jumaat bertajuk Pandu hemat, nyawa selamat yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut Jakim, tragedi ini bukan sahaja meninggalkan trauma mendalam, malah mengakibatkan penderitaan berpanjangan sama ada kecacatan fizikal atau kehilangan insan tersayang.
“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahun 2025, sebanyak 6,537 kematian dicatatkan daripada lebih setengah juta kemalangan yang berlaku.
“Selain membahayakan nyawa dan hak orang lain, kesalahan-kesalahan jalan raya ini turut membawa kerugian besar kepada negara,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan laporan perangkaan kemalangan jalan raya dan program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP), negara dianggarkan mengalami kerugian hampir RM18 bilion pada tahun 2010 bersamaan 2.2 peratus Keluaran Negara Kasar Negara (KDNK).
SENTIASA mematuhi peraturan jalan raya dan bertimbang rasa dengan pengguna jalan raya lain. Foto Canva
“Jumlah ini meningkat kepada lebih RM25 bilion pada tahun 2023 akibat kos rawatan, kehilangan produktiviti serta kerosakan harta benda,” jelasnya.
Larangan memudaratkan diri, orang lain
Menurut Jakim, dalam konteks jalan raya, memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon ketika memandu atau memandu dalam keadaan tidak waras merupakan tindakan yang mendekatkan diri kepada kebinasaan yang ditegah syarak.
“Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, bahkan bercanggah dengan prinsip hifz an-nafs (pemeliharaan nyawa) serta kaedah Fiqh iaitu La darar wala dirar yang menegaskan larangan memudaratkan diri dan orang lain.
“Inilah punca berlakunya tragedi apabila kelalaian bertemu dengan satu kecuaian, lalu meragut nyawa yang tidak berdosa.
“Justeru, pandulah dengan penuh bertanggungjawab kerana keselamatan di jalan raya merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT,” nasihatnya.
Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)
Menurut khatib, ayat ini menunjukkan larangan melakukan perkara yang membawa kepada bahaya dan kemudaratan.

STATISTIK menunjukkan lebih 6,500 kematian dicatatkan dalam lebih setengah juta kemalangan jalan raya tahun lalu. Foto Canva
“Justeru, menjaga kesalamatan diri dan orang lain merupakan tuntutan syarak selaras dengan prinsip pemeliharaan nyawa dan setiap kecuaian yang mengancam nyawa termasuk dalam larangan ini,” jelasnya.
Hilang waras membinasakan
Sambung khatib, dalam Maqasid Syariah, pemeliharaan akal amat dititikberatkan kerana akal yang sejahtera akan mengawal tindakan dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang membinasakan.
“Sebaliknya, apabila akal terganggu lebih-lebih lagi akibat pengaruh bahan memabukkan, manusia hilang pertimbangan, lalu berani memandu dalam keadaan tidak waras, sekali gus mengundang bahaya kepada diri dan orang lain.
“Apabila akal tidak dipandu dengan baik, manusia menjadi cuai dan kecuaian itulah yang sering membuka pintu tragedi,” hurainya.
Pernahkah kita merenung bahawa ada insan keluar dari rumah pada pagi hari dengan niat mencari rezeki atau kembali kepada keluarga, namun tidak pernah pulang?
“Bukan kerana sakit, bukan kerana usia, tetapi akibat satu kelalaian di jalan raya. Ada yang menunggu dengan penuh harapan, tetapi yang tiba hanyalah khabar duka.
“Lebih menyedihkan, ada yang menjadi mangsa bukan kerana kesilapan dirinya, tetapi kerana kecuaian orang lain yang gagal memelihara akal dan amanah keselamatan,” tegasnya.

KESABARAN juga perlu diterapkan dalam diri terutamanya dalam keadaan kesesakan jalan raya. Foto Canva
Menurut Jakim, mematuhi undang-undang jalan raya merupakan satu bentuk ketaatan dalam menjaga keselamatan diri dan masyarakat, selaras dengan perintah ALLAH SWT dalam ayat ke-59 surah an-Nisa’: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH, taatlah kamu kepada rasul dan ulil amri (pemimpin) dalam kalangan kamu.”
Ujar khatib, bersempena dengan sambutan Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), marilah kita bermuhasabah bahawa setiap peraturan di jalan raya bukanlah satu beban, tetapi usaha untuk memelihara nyawa dan kesejahteraan masyarakat.
“Kewujudan agensi seperti JPJ bukan untuk menghukum semata-mata, tetapi sebagai benteng keselamatan untuk kita semua,” pesannya.
Pengajaran daripada khutbah Jumaat bertajuk Pandu hemat, nyawa selamat:
1 – Setiap Muslim dituntut untuk menjaga keselamatan diri dan orang lain dengan mengelakkan kecuaian serta bertindak secara berhemah dalam setiap keadaan.
2 – Patuhilah undang-undang jalan raya sebagai amanah iman kerana setiap tindakan kita melibatkan nyawa manusia yang wajib dipelihara.
3 – Jauhilah segala yang menghilangkan kewarasan seperti arak kerana ia membuka pintu kepada kerosakan.





