Amarjit pahat nama Malaysia di peta dunia berbasikal

Amarjit pahat nama Malaysia di peta dunia berbasikal


PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada Kongres UCI kali ke-194 di Kigali, Rwanda.

Pelantikan itu menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama dalam sejarah menduduki jawatan tertinggi badan induk berbasikal dunia sekali gus mengangkat martabat negara di pentas antarabangsa.

Amarjit, 55, yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), menyifatkan pemilihan tersebut sebagai satu penghormatan besar dan batu loncatan penting kepada perkembangan berbasikal Asia di pentas global.

“Ini satu penghormatan besar apabila saya dipilih sebagai Naib Presiden pertama UCI dari Malaysia. Pemilihan ini bukti keyakinan komuniti berbasikal global, dan saya dedikasikan kepada seluruh keluarga berbasikal dunia dengan penuh integriti, inklusiviti serta visi.

“Saya komited untuk bekerjasama rapat dengan Presiden UCI, David Lappartient, serta rakan sejawatan lain bagi memastikan sukan berbasikal terus menginspirasi, menyatukan dan berkembang di setiap benua,” katanya.

Selain Amarjit, turut dipilih sebagai Naib Presiden UCI bagi penggal 2025–2029 ialah Enrico Della Casa dari Itali, Katerina Nash dari Republik Czech dan José Manuel Pelaez dari Cuba.

Sementara itu, Lappartient dari Perancis mengekalkan jawatan Presiden UCI untuk penggal ketiga berturut-turut selepas menang tanpa bertanding.

Kongres bersejarah yang dihadiri 132 perwakilan itu turut disaksikan Presiden Rwanda, Paul Kagame, yang menyambut Rwanda sebagai negara Afrika pertama menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia Jalan Raya UCI 2025, bertepatan dengan ulang tahun ke-125 badan induk tersebut.

Menariknya, keluarga Amarjit bukan asing dalam dunia berbasikal antarabangsa apabila ayahnya, Tan Sri Darshan Singh Gill pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI dari 1996 hingga 2005.

Amarjit sendiri sebelum ini berkhidmat dua penggal sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI sejak 2017 selain menerajui ACC yang menaungi puluhan negara Asia.

Sementara itu, Lappartient mengalu-alukan pemilihan Amarjit dengan menyifatkan beliau membawa pengalaman luas sebagai Presiden ACC serta visi progresif untuk pembangunan berbasikal dunia.

Katanya, kehadiran Amarjit dalam kepimpinan tertinggi UCI mencerminkan suara Asia yang semakin berpengaruh di arena global.

Lappartient juga yakin Amarjit akan memainkan peranan penting memastikan sukan berbasikal terus berkembang kukuh di seluruh dunia.

Kongres kali ini turut memilih barisan Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI baharu yang akan berkhidmat sehingga 2029 melibatkan wakil dari Afrika, Amerika, Oceania dan Eropah termasuk Michel Callot dari Perancis, Rocco Cattaneo dari Switzerland serta Tom Van Damme dari Belgium.

Ringkasan AI

  • Datuk Amarjit Singh Gill membuat sejarah dengan dipilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa di Kigali, Rwanda
  • Beliau menjadi rakyat Malaysia pertama yang menduduki posisi tinggi di badan induk berbasikal dunia
  • Amarjit juga adalah Presiden Konfederasi Berbasikal Asia dan berkomitmen untuk memajukan berbasikal Asia di peringkat global
  • Keluarga Amarjit mempunyai sejarah dalam berbasikal antarabangsa dengan ayahnya pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI
  • Kejohanan Dunia Jalan Raya UCI 2025 akan diadakan di Rwanda, negara Afrika pertama menjadi tuan rumah acara tersebut



Source link

OR

Scroll to Top