Kuala Lumpur: Penyanyi Amir Jahari mendedahkan terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan foto peribadinya dalam satu sindiket penipuan di WhatsApp.
Amir menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya berkata, perkara itu disedari selepas isterinya, Kartini Sulaiman menerima mesej WhatsApp daripada seorang individu yang menyamar sebagai dirinya dan meminta sejumlah duit.
“Amaran penipuan. Mohon sebarkan. Jangan sampai ada yang terkena dengan individu ni.
“Nasib baik dia WhatsApp isteri saya, sekurang-kurangnya dapat tahu awal,” tulisnya.
Menurut Amir, terdapat beberapa kenalan turut menerima mesej daripada individu itu dan menegaskan dia hanya memiliki satu nombor peribadi sahaja.
“Sudah beberapa orang bertanyakan perkara ini. Sudah lah pakai gambar keluarga saya.
“Saya ingin jelaskan di sini saya hanya ada satu nombor peribadi untuk keluarga dan kenalan rapat. Selain daripada itu, semua bukan nombor saya,” tulisnya lagi.
Menerusi pendedahan yang dibuat, Amir memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp antara isterinya dan individu yang menyamar sebagai dirinya.
Antara perbualan itu adalah individu itu meminta isterinya membuat transaksi secara online kepada akaun saudaranya kerana mengalami gangguan perkhidmatan.
Kata individu itu lagi, saudaranya dimasukkan ke hospital menyebabkan dia ingin meminjam duit sebanyak RM150 dengan segera.
© New Straits Times Press (M) Bhd