July 27, 2024

Apa pendirian Anwar mengenai titah adendum Najib, tanya Wan Saiful

Apa pendirian Anwar mengenai titah adendum Najib, tanya Wan Saiful


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa seolah-olah melarikan diri daripada menjawab titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lantaran itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk San Saiful Wan Jan bertanya, sebagai Presiden PKR, sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, apa sebenarnya pendirian politik parti yang dipimpin oleh Anwar sampai sekarang Anwar yang masih tidak menjawab isu ini.

“…dia cuba lari dengan kata ini isu pentadbiran semata-mata.

“Kita tahu (Datuk Seri) Zahid Hamidi dan UMNO nampak gayalah sekarang ini seolah-olah nak titah adendum dilaksanakan. Jadi saya nak tanya Anwar Ibrahim apa sebenarnya pendiriannya dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini sebuah kumpulan hak asasi manusia (ALiran) turut menggesa agar Anwar erterus terang berhubung kewujudan “titah adendum” agar Najib Razak menghabiskan hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Menurut Aliran, pentadbiran Anwar diwakili dalam Lembaga Pengampunan, justeru, beliau tidak sepatutnya tidak tahu mengenai perkara itu.

Justeru itu, Wan Saiful berkata,  tempoh 14 kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu harus digunakan sepenuhnya Anwar untuk berusaha menjelaskan kepada rakyat mengenai perkara berkenaan.

“Janganlah cuba nak lari. Bila datang Kuala Kubu Bharu untuk berkempen cuba bawa penjelasan ini kepada rakyat supaya rakyat boleh nilai sikap kamu boleh dipercayai atau tidak,” nasihat Wan Saiful.

Minggu lalu, Anwar berkata, beliau enggan terbabit dalam perbincangan berkaitan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada Najib.

Ini kerana Anwar berkata perbincangan mengenai titah berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pendirian kerajaan mengenai semua urusan berkaitan Majlis Raja-Raja tidak boleh dicabar adalah kekal sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Pada 17 April lalu, Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong dakwaan Najib berhubung kewujudan titah adendum (tambahan) agar dia menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Presiden UMNO itu menyokong dakwaan berkenaan menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

Zahid mendakwa dalam pertemuan di rumahnya pada 30 Januari lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kepadanya berhubung kewujudan titah adendum tersebut yang bertarikh 29 Januari.

Bagaimanapun, Zafrul kemudiannya mendakwa terdapat “kesilapan fakta” dalam afidavit Zahid dan menulis surat kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memohon kebenaran untuk memfailkan afidavit untuk menangani perkara itu. – MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top