Arif Aiman bernasib baik tidak diarah keluar padang – Pekan Ramli

Arif Aiman bernasib baik tidak diarah keluar padang – Pekan Ramli


PEMAIN sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi bernasib baik apabila masih dibenarkan beraksi selepas terlibat dalam insiden pergaduhan dengan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada pada aksi Liga Super 2024/2025 pada Ahad.

Penganalisis bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pemain yang melakukan kekasaran seperti menumbuk ataupun memukul bahagian kepala pihak lawan dengan sengaja kebiasaannya akan diperintah keluar padang oleh pengadil.

Beliau berkata, umum juga mengetahui menumbuk bahagian kepala pemain lawan adalah satu bentuk perbuatan ganas dan berpotensi mendatangkan kecederaan serius.

“Saya rasa Arif Aiman bernasib baik malam tadi tidak dilayangkan kad merah walaupun kesalahan menumbuk muka pemain lawan itu semua orang pun tahu, ia satu perbuatan ganas dan boleh mendatangkan kecederaan yang teruk dan selalunya dilayangkan kad merah oleh pengadil.

“Saya tidak pasti atas budi bicara apa yang digunakan oleh pengadil dalam insiden ini dan hanya pengadil itu saja yang boleh menjawabnya,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor itu, insiden pergaduhan tercetus pada minit ke-83 apabila Tommy Mawat cuba menghalang larian Arif Aiman sebelum kedua-dua pemain gagal mengawal emosi hingga mencetuskan suasana tegang.

Ketika rakan sepasukan dan pengadil Razlan Joffri Ali cuba meleraikan pergaduhan, Tommy Mawat dilihat sedang mencekik Arif Aiman sebelum pemain JDT itu pula mengasari lawannya apabila dilihat melepaskan pukulan ke arah kepala.

Kedua-dua pemain hanya dilayangkan kad kuning dan keadaan kembali terkawal hingga wisel penamat dibunyikan yang menyaksikan JDT menang 5-0 terhadap Perak FC.

Sementara itu, Pekan berharap para pengadil yang telah diberi mandat untuk mengendalikan setiap perlawanan dapat menjalankan tugas sebaiknya selepas mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) sekali lagi dipertikaikan susulan insiden pergaduhan Arif Aiman dan Tommy Mawat.

Ini kerana Razlan Joffri didakwa sepatutnya memberikan sekurang-kurangnya satu kad merah dalam perlawanan itu kerana berlakunya tingkah laku ganas oleh pemain.

“Saya amat berharap pengadil-pengadil kita dapat membersihkan imej mereka dari pelbagai tuduhan negatif. Ini tanggungjawab pengadil itu sendiri untuk membuat keputusan di dalam padang.

“Jangan hak untuk bertoleransi dan menggunakan budi bicara sendiri pada setiap insiden di padang itu disalah guna mengatasi undang-undang permainan yang sebenar,” kata beliau.

Dalam pada itu, media tempatan hari ini melaporkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang merupakan pemilik JDT berpandangan Arif Aiman dan Tommy Mawat masing-masing sepatutnya dilayangkan kad merah kerana bergaduh.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula dalam kenyataan hari ini memandang serius insiden pergaduhan itu sambil memaklumkan kedua-dua pemain itu boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top