Arif Aiman meraikan jaringan gol buat JDT ketika menetang Kuching City dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Foto: Bernama
PEMAIN sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi meluahkan rasa syukur selepas kembali beraksi setelah hampir enam bulan berehat akibat kecederaan serius yang dialami pada kempen Kelayakan Piala Asia 2027, November tahun lalu.
Arif Aiman, yang membuat penampilan semula di pentas kompetitif pada final Piala Malaysia 2025-2026 menentang Kuching City di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur di sini malam tadi, mengakui tempoh pemulihan yang dilaluinya bukan sesuatu yang mudah.
Pemain kebangsaan itu berkata beliau terpaksa melalui rutin latihan dan pemulihan yang mencabar setiap hari demi memastikan dirinya kembali cergas untuk beraksi semula di padang.
“Pertama sekali, alhamdulillah, saya bersyukur selepas hampir enam bulan tidak beraksi. Memang saya sangat bergelut untuk kembali beraksi. Setiap hari di gimnasium memang membosankan, tetapi saya perlu hadapinya kerana ini kecederaan paling teruk dalam karier saya sebagai pemain bola sepak.
“Saya ambil itu sebagai motivasi. Selepas cedera, saya merehatkan diri, tidak meletakkan tekanan dan mengambil masa untuk pulih kerana saya percaya suatu hari nanti saya akan kembali seperti hari ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir itu.
Arif Aiman mengalami kecederaan hamstring ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Nepal di sini pada 18 November tahun lepas.
Pada aksi malam tadi, Arif Aiman menceriakan penyokong skuad Harimau Selatan apabila dimasukkan pada minit ke-65 sebelum meledak gol kedua pasukan pada minit ke-90 untuk membantu JDT menewaskan Kuching City 2-0, sekali gus mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut.
Pemain berusia 24 tahun itu turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Sementara itu, Arif Aiman mengesahkan beliau akan menamatkan zaman bujangnya, dengan media sebelum ini melaporkan majlis perkahwinan beliau bersama pilihan hatinya, Nurul Aliah Natasha Md Hairushahri, dijadual berlangsung di Johor Bahru, esok.
“Alhamdulillah. Ini hadiah paling bermakna selepas enam bulan saya tidak beraksi. Jadi, saya akan memulakan fasa baharu dalam kehidupan saya,” kata Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan empat tahun berturut-turut itu.






