September 8, 2024

Armada gesa kerajaan tangguh perjualan MAHB

Armada gesa kerajaan tangguh perjualan MAHB


GEORGE TOWN – Armada Bersatu Pulau Pinang membidas kenyataan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Abshar Nurasyraf yang menyifatkan langkah penjualan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak sepatutnya dipolitikkan.

Ia sebaliknya perlu melihat peningkatan kualiti yang bakal diperoleh MAHB.

Ketuanya, Muhammad Zikri Zulkifi berkata, AMK tidak boleh memandang remeh dengan tindakan penjualan sebahagian saham MAHB kepada sebuah syarikat yang bersekongkol dengan tindakan genosid ke atas rakyat Palestin di Gaza.

“Semalam, Prof Saul Takahashi dari Jepun yang pernah berkhidmat secara rasmi sebagai Pegawai Hak Asasi PBB mengeluarkan sebuah video menyeru agar kerajaan Malaysia menilai semula penjualan MAHB.

“Beliau meminta kerajaan kita mengelak dari menjalankan sebarang urusan dengan syarikat yang memberi dana serta menjadi sebahagian daripada tindakan pembunuhan yang dilakukan oleh Rejim Zionis Israel.

“Takahashi juga menyifatkan langkah penjualan MAHB kepada BlackRock oleh kerajaan Malaysia sebagai ‘tidak berakal’ serta bertentangan dengan pendirian negara selama ini yang mendokong perjuangan Palestin,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Muhammad Zikri, AMK Pulau Pinang serta semua pihak perlu ingat angka korban di sempadan Gaza telah melangkaui 35,000 nyawa termasuk golongan wanita dan kanak-kanak yang telah dibunuh dengan kejam oleh Rejim Zionis Israel.

“Sehubungan itu, kita menggesa kerajaan menangguh dan mempertimbangkan semula proses penjualan saham MAHB kepada BlackRock.

“Kerajaan juga perlu mengambil kira pandangan kesemua pemegang taruh dan bakal pelabur agar aset penting Malaysia tidak tergadai kepada pihak yang terlibat dengan tindakan genosid keatas rakyat Palestin di Gaza sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top