July 27, 2024

PRK Sungai Bakap : Calon PKR wakil Kerajaan Perpaduan

PRK Sungai Bakap : Calon PKR wakil Kerajaan Perpaduan


GEORGE TOWN – Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang sebulat suara bersetuju untuk meletakkan calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, persetujuan itu diperoleh hasil perbincangan yang diadakan antara parti komponen mambabitkan PKR, UMNO serta Parti Amanah Negara (PAN) hari ini.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, persetujuan itu juga dicapai atas semangat perpaduan yang terjalin antara parti sejak pilihan raya lalu selain kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sebelum ini ditandingi calon PKR.

“Tiada pertikaian atau mana-mana parti lain menawarkan diri untuk bertanding pada PRK Sungai Bakap kerana semua setuju memberi kesempatan kepada parti yang bertanding sebelum ini bertanding semula.

Kon Yeow bercakap pada sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang hari ini.

“Sebelum kita buat keputusan pun parti-parti telah menyuarakan sokongan kepada PKR untuk menghantar senarai nama calon,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma DAP negeri di sini, hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow mempengerusikan mesyuarat Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang yang dihadiri Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzil ;dan Pengerusi Amanah negeri, Muhammad Faiz Fadzil.

Tambah Kon Yeow, jentera Kerajaan Perpaduan akan mengembleng usaha untuk menebus kekalahan di DUN Sungai Bakap yang mana sebelum ini diwakili calon PRK selama tiga penggal.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut memaklumkan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Mohamad Abdul Hamid sebagai Pengarah PRK Sungai Bakap bagi Kerajaan Perpaduan.

Parti dalam Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang mengadakan mesyuarat bagi memutuskan calon mewakili mereka pada PRK Sungai Bakap.

“Beliau akan dibantu empat orang timbalan pengarah PRK yang mana nama mereka akan dimaklumkan kemudian bagi mewakili parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada 6 Jun ini bagi membincangkan mengenai PRK Sungai Bakap.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top