July 27, 2024

Boleh menang jadi kriteria untuk calon PKR Sungai Bakap

Boleh menang jadi kriteria untuk calon PKR Sungai Bakap


GEORGE TOWN – ‘Winnable’ (boleh menang), menyumbang serta mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan masyarakat antara kriteria dalam memilih calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar.

Katanya, senarai nama lima calon telah dihantar untuk pertimbangan mewakili Kerajaan Perpaduan bagi PRK Sungai Bakap dan keputusan akhir pemilihan akan diputuskan pucuk pimpinan.

“Kita bukan saja mengambil kira nama-nama berpengaruh dalam kalangan masyarakat tapi mereka yang banyak menyumbang pada hari ini serta sebelum ini.

“Bila ada keutuhan (kesepakatan pemilihan calon PKR mewakili parti Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang) sebegini kita mahu calon yang dipertaruhkan itu winnable candidate berdasarkan peratusan kemenangan yang tinggi.

“Jadi ini bukan sesuatu yang mudah tapi kita perincikan secara serius (kreteria) sebelum memutuskan calon,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang di sini hari ini.

Parti dalam Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang mengadakan mesyuarat bagi memutuskan calon mewakili mereka pada PRK Sungai Bakap.

Terdahulu, Nurul Izzah menghadiri mesyuarat Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang yang dipengerusikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi membincangkan calon yang akan mewakili mereka pada PRK Sungai Bakap.

Hadir sama, Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Pengerusi Amanah negeri, Muhammad Faiz Fadzil dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada bekas calon PH yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu tersenarai dalam pemilihan kali ini, Nuruh Izzah berkata, sudah cukup memadai untuk dirinya memaklumkan mereka yang tersenarai adalah calon yang menyumbang kepada masyarakat.

“Memadai saya katakan mereka yang tersenarai itu ada perwakilan wanita dan lelaki daripada pelbagai peringkat umur,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada 6 Jun ini bagi membincangkan mengenai PRK Sungai Bakap.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top