Arlington: Jurulatih Austria, Ralf Rangnick mengakui kehebatan jaringan Lionel Messi selepas pasukannya tewas 0-2 di Dallas pada Isnin namun mempersoalkan sama ada gol pertama Argentina sepatutnya dibatalkan.
Messi, yang akan berusia 39 tahun minggu ini, menjaringkan dua gol buat skuad kendalian Lionel Scaloni, dengan gol pertama hadir pada minit ke-38 manakala gol kedua dijaringkan pada masa kecederaan untuk menghadiahkan kekalahan pertama buat Austria di peringkat kumpulan.
“Jika seseorang berusia 39 tahun dan mampu menjaringkan dua gol serta lima gol secara keseluruhan pada permulaan Piala Dunia, itu sememangnya memberi perbezaan,” kata Rangnick mengenai Messi.
“Kami tahu dia berada pada tahap tersendiri dan Lionel Messi membuktikan dia adalah salah seorang pemain terbaik atau mungkin yang terbaik.
“Tetapi saya fikir kami sendiri menyumbang kepada gol kedua, itu kesilapan kami.
“Bagi gol pertama, saya berharap pegawai keempat melakukan perkara yang sama seperti ketika situasi penalti.
“Dia sepatutnya melihat semula insiden itu dan menyaksikan apa yang semua orang lihat iaitu kekasaran ke atas Xaver Schlager.
“Ia mengecewakan. Namun secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pasukan saya dan bersetuju dengan cara mereka bermain hari ini.”
Dua gol Messi itu menjadikannya penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 18 gol dan Rangnick mengakui tidak banyak yang mampu dilakukan pasukannya untuk mengekang bekas bintang Barcelona itu sepanjang 90 minit.
“Inilah Lionel Messi. Dia tidak memerlukan banyak peluang untuk menentukan keputusan perlawanan.”
Austria sebelum ini mengutip tiga mata hasil kemenangan 3-1 ke atas Jordan dalam aksi pembukaan dan masih berpeluang memburu tempat ke pusingan kalah mati menjelang perlawanan terakhir kumpulan menentang Algeria.
© New Straits Times Press (M) Bhd





