KUALA LUMPUR: Kontinjen negara tetap meletakkan keyakinan tinggi untuk menghadirkan kejayaan di Sukan Komanwel Glasgow 2026 meskipun hanya mempertaruhkan 59 atlet, susulan pengurangan jumlah sukan yang dipertandingkan pada temasya yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, selain 59 atlet, negara turut menghantar 22 atlet para yang akan beraksi dalam acara para yang berlangsung serentak sepanjang temasya berkenaan.
Beliau berkata, semua atlet berada pada landasan terbaik selepas menjalani persiapan rapi dan diyakini mampu menggalas cabaran negara dengan penuh komitmen bagi memburu keputusan memberangsangkan.
“Hari ini saya berpeluang melawat kem latihan membabitkan tiga sukan iaitu renang, gimnastik dan para olahraga, dan Alhamdulillah segala persiapan ke Sukan Komanwel di Glasgow berjalan dengan lancar.
“Atlet-atlet kita juga berada dalam keadaan sihat serta mempunyai semangat yang tinggi dan Insya-Allah mereka akan berjuang habis-habisan untuk menghadiahkan kejayaan kepada negara,” katanya selepas mengadakan lawatan ke venue latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Menurut Awalan, saiz kontinjen Malaysia kali ini lebih kecil berbanding edisi terdahulu kerana penganjur hanya mempertandingkan 10 jenis sukan bersama enam sukan para selepas beberapa acara digugurkan daripada program rasmi.
Beliau mengakui situasi itu secara tidak langsung mengehadkan peluang Malaysia untuk memburu lebih banyak pingat emas, namun percaya atlet yang terpilih masih berupaya memberikan impak positif.
“Dari segi sasaran kita akan bincangkan kemudian, namun apa yang paling penting saya mahu semua atlet memberikan aksi terbaik kerana kita sudah mengenal pasti beberapa sukan yang berpotensi menyumbang pingat buat negara,” katanya.
Pada edisi Glasgow 2026, Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara olahraga dan para olahraga, renang dan para renang, berbasikal trek dan para berbasikal trek, angkat berat dan para powerlifting, boling padang dan boling padang para, bola keranjang 3×3 serta kerusi roda 3×3, gimnastik artistik, bola jaring, tinju dan judo.
Untuk rekod, kontinjen Malaysia mengakhiri kempen edisi Birmingham 2022 dengan kutipan tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa. – UTUSAN






