Pelakon Azar Azmi mengaskan bahawa duit sumbangan daripada usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri yang terimanya baru-baru ini bukanlah untuk mengikat jamin suaminya, Mohd. Apri Hazreen.
Tegas Azar, tuduhan yang mendakwa duit itu digunakan untuk mengikat jamin suaminya adalah tidak tepat.
“Tanya orang itu, dia berjumpa dan bercakap dengan siapa. Selagi tak keluar daripada mulut saya, itu bukannya dari saya.
“Orang yang di luar yang komen-komen ini mereka boleh tulis dan cakap apa sahaja dan saya sebagai manusia biasa tidak mampu untuk menutup kata-kata manusia.
“Mereka nak taip apa benda sekali pun, saya tak boleh nak kawal benda itu melainkan kereta mainan kawalan yang boleh dikawal,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Media Prima, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azar mengakui sepanjang tempoh perkahwinan tidak ada sebarang perkara mencurigakan yang dilakukan oleh suaminya.
“Saya memang tak tahu (dakwaan penipuan duit) sebab apa yang saya nampak pada mata saya dia keluar pergi kerja macam orang lain.
“Kalau dia balik lewat, dia akan cakap dia luangkan masa dengan anak dia. Tiada kemewahan.
“Menunggu duit hujung bulan. Tak ada keistimewaan lain,” katanya lagi.
Ditanya mengenai duit pemberian Aliff, Azar memaklumkan akan menggunakan wang tersebut untuk melangsaikan semua hutang suami yang dianggarkan berjumpa ratusan ribu ringgit.
“Duit RM40,000 yang dapat dari Datuk Aliff Syukri saya gunakan untuk melangsai hutang. Kesemua hutang, dianggarkan bernilai ratusan ribu,” ujarnya.
Terdahulu, nama pelakon drama Nur 2 itu menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen selepas dia dan suaminya direman serta didakwa di mahkamah atas kes dakwaan penipuan duit.
Namun, Azar dibebaskan dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes.
Dalam prosiding pada Mac lalu, suaminya mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.
Mohd. Apri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Nurul Saqinah Rosli.Siri TV
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang penama wanita berusia 35 tahun.






