Azizulhasni, PKBM terima anugerah BrandLaureate

Azizulhasni, PKBM terima anugerah BrandLaureate


Azizulhasni. Foto Bernama

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang menerima pengiktirafan Book of World Records daripada The BrandLaureate, iaitu anugerah penjenamaan berprestij di Malaysia dan rantau Asia-Pasifik.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memaklumkan Muhammad Azizulhasni atau lebih dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman menerima penghargaan berkenaan baru-baru ini, selepas menghadiahkan pingat emas acara keirin dan perak dalam acara pecut individu pada kejohanan trek Piala Dunia 2026 di Velodrom Nasional. 

“PKBM ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Azizulhasni kerana menerima anugerah Book of World Records daripada The BrandLaureate. PKBM sangat menghargai kejayaan ini. Tahniah Datuk Azizulhasni,” kata Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh dalam kenyataan sama pada Khamis.

Sementara itu, PKBM turut menerima anugerah khas daripada The BrandLaureate atas jasa mempromosikan sukan berbasikal dan meletakkan Malaysia sebagai antara jenama terkemuka dalam peta sukan dunia.

Terdahulu, Muhammad Azizulhasni menerima anugerah tersebut di sebuah hotel terkemuka di sini daripada Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 2024, Muhammad Azizulhasni telah menerima Sport Icon Awards daripada The BrandLaureate.

Antara atlet Malaysia yang pernah menerima pelbagai anugerah khas daripada The BrandLaureate ialah pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia; atlet Muay Thai, Johan Ghazali Zulfikar dan jaguh olahraga para, Datuk Abdul Latiff Romly. – Bernama

 

 

 

 



Source link

OR

Scroll to Top