Ronaldo sekali lagi mencuri tumpuan selepas membantu Al Nassr mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Al-Ahli dalam aksi Liga Pro Saudi pada Khamis.
CRISTIANO Ronaldo sekali lagi mencuri tumpuan selepas membantu Al Nassr mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Al-Ahli dalam aksi Liga Pro Saudi pada Khamis.
Selain prestasi cemerlangnya yang menyumbang gol ke-970 sepanjang kerjaya, kapten Portugal itu turut tular menerusi reaksi spontannya terhadap penyokong pihak lawan selepas tamat perlawanan.
Kejadian bermula apabila segelintir penyokong Al-Ahli cuba melakukan provokasi terhadap Ronaldo dengan membangkitkan kejayaan kelab mereka di peringkat benua selepas baru-baru ini mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE).
Bagaimanapun, pemenang Ballon d’Or lima kali itu tidak melatah sebaliknya tersenyum dan dia memberikan respon dengan menunjukkan lima jari ke arah penyokong terbabit sebagai peringatan kepada koleksi lima kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA yang dimenanginya.
“Saya ada lima (trofi) Liga Juara-Juara,” katanya.
Untuk rekod, Ronaldo memenangi satu trofi UCL bersama Manchester United (2008) dan empat lagi bersama gergasi Sepanyol, Real Madrid (2014, 2016, 2017, 2018).
Di sebalik drama di luar padang, Ronaldo terus membuktikan bahawa usia hanyalah angka apabila terus memahat sejarah dalam dunia bola sepak.
Gol yang dijaringkan dalam perlawanan menentang Al-Ahli itu merupakan gol ke-970 dalam kerjaya profesionalnya. Pencapaian luar biasa itu menyaksikan Ronaldo kini hanya memerlukan 30 gol lagi untuk mencecah angka 1,000 gol.
Kemenangan tersebut turut mengukuhkan kedudukan Al Nassr di persada liga. Dengan baki perlawanan musim ini yang masih banyak, ditambah pula dengan tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Portugal, impian Ronaldo untuk mencapai 1,000 gol dilihat semakin hampir menjadi kenyataan.





