am@hmetro.com.my
Tawau: Seorang bekas pelajar sekolah menengah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, daripada pertuduhan merogol secara berkumpulan remaja perempuan berusia 15 tahun, dua tahun lalu.
Majistret Don Stiwin Malanjum membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang ketika kejadian berusia 17 tahun.
Ketika membacakan keputusan, Don Stiwin berkata, pihak pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence) tanpa sebarang bukti langsung yang dapat mengaitkan tertuduh dengan pertuduhan.
Beliau berkata, laporan perubatan mangsa juga gagal mengesahkan identiti pelaku, selain terdapat beberapa percanggahan material antara keterangan mangsa (PW1) di mahkamah dengan laporan yang disediakan oleh Pusat Advokasi Kanak-Kanak (CAC).
“Mahkamah berpendapat adalah tidak selamat untuk memanggil tertuduh membela diri.
“Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pindaan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa secara berkumpulan merogol mangsa yang semasa kejadian berusia 15 tahun di kediaman di sini, kira-kira 1 pagi, 13 Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly manakala tertuduh diwakili peguam Kamaruddin Mohamad Chinke.
Ketika ditemui di luar mahkamah, pemuda itu menzahirkan rasa syukur selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.
Beliau turut berterima kasih kepada peguamnya dan bertekad untuk memulakan hidup baharu serta mencari pekerjaan bagi membantu keluarganya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






