India arah Meta padam kandungan seksual kanak-kanak

India arah Meta padam kandungan seksual kanak-kanak


NEW DELHI: India mengarahkan Meta supaya menghapuskan semua kandungan berunsur seksual yang melibatkan kanak-kanak di platformnya, termasuk Instagram, dalam tindakan terbaharu pihak berkuasa terhadap gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu.

Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, Kementerian Teknologi India semalam mengeluarkan notis yang mengarahkan Meta menyekat semua iklan serta kandungan lain yang mengandungi unsur penderaan dan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Meta turut diarah mengemukakan maklum balas terperinci kepada kerajaan dalam tempoh tujuh hari, menurut sumber berkenaan.

Meta dan Kementerian Teknologi India setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.

Siasatan BBC yang diterbitkan pada 3 Julai mendedahkan bahan penderaan seksual kanak-kanak digunakan dalam beberapa iklan di Instagram di India.

Sebelum ini, Meta dalam satu kenyataan menegaskan syarikat itu mengamalkan dasar ‘toleransi sifar’ terhadap sebarang usaha mendapatkan atau berkongsi kandungan sedemikian, sambil memaklumkan pasukannya sentiasa berusaha memperkukuh sistem perlindungan platform.

Platform WhatsApp milik Meta turut mendapat perhatian kerajaan India selepas memperkenalkan ciri yang membolehkan pengguna menempah nama pengguna , yang menurut syarikat itu bertujuan meningkatkan tahap privasi.

Bagaimanapun, Kementerian Teknologi India mengarahkan Meta menangguhkan pelaksanaan ciri tersebut serta meminta syarikat tersebut menangani kebimbangan perubahan itu boleh menggalakkan penipuan dalam talian, aktiviti scam dan penyamaran identiti.

Tindakan terbaharu India terhadap Meta susulan beberapa pertikaian sebelum ini antara kerajaan dan syarikat berkenaan, termasuk berkaitan isu privasi serta penyulitan.

India merupakan pasaran terbesar Meta dari segi jumlah pengguna bagi aplikasi Facebook, WhatsApp dan Instagram.

Tekanan terhadap syarikat media sosial itu hadir ketika semakin banyak negara memperketatkan pengawasan serta memperkenalkan peraturan lebih ketat terhadap platform digital.

Pada Jun lalu, Britain mengumumkan larangan penggunaan semua platform media sosial utama bagi individu berusia bawah 16 tahun, susulan langkah sama yang diperkenalkan Australia.

Brazil pula akan mewajibkan individu di bawah usia 16 tahun hanya memiliki akaun media sosial yang dipautkan kepada penjaga sah, manakala Malaysia akan melarang pembukaan akaun media sosial bagi mereka yang berusia bawah 16 tahun mulai 2027.- BLOOMBERG



Source link

OR

Scroll to Top