Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi keutamaan terhadap aspek rawatan dan sokongan psikososial kepada mangsa serta warga sekolah susulan insiden yang berlaku di sebuah institusi pendidikan.
Katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan segera termasuk mengawal keadaan serta menahan suspek terlibat.

“Saya berada di tempat kejadian sebentar tadi. PDRM telah mengambil semua langkah-langkah keselamatan mengawal keadaan termasuk menangkap suspek.
“Tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan mangsa diberikan rawatan perubatan dan sistem sokongan psikososial untuk warga sekolah menjadi keutamaan KPM.
“Semoga Tuan Pengetua, para guru yang kami kasihi dan anak-anak pelajar semuanya diberikan kesabaran dan kekuatan menghadapi ujian ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu atau membuat sebarang spekulasi memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Dalam masa sama, Fadhlina merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam mengendalikan situasi berkenaan serta memaklumkan perkembangan lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian siasatan.

Hari ini, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera dipercayai ditikam dalam kejadian di kantin sebuah sekolah menengah di Banting, di sini selepas membeli roti.
Menurut laporan, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi ketika waktu rehat apabila mangsa dipercayai ditikam di bahagian belakang dan hadapan badan dalam insiden yang mengejutkan warga sekolah.
Seorang pelajar mendakwa, suspek dipercayai memasuki kawasan kantin melalui laluan dari arah surau sebelum kejadian berlaku.
Katanya, keadaan bertukar gempar sejurus kejadian dengan pelajar bertempiaran lari menyelamatkan diri.
“Kejadian masa rehat bagi pelajar tingkatan tiga. Suspek tikam bahagian belakang dan depan badan,” katanya kepada Kosmo!.

Jelasnya, kesemua pelajar kemudiannya telah diarahkan berkumpul di padang sekolah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Dalam pada itu, pelajar terbabit turut memaklumkan suspek yang juga berusia 15 tahun dipercayai pernah dibuang sekolah pada tahun lalu.
“Dia dikatakan mempunyai masalah mental dan pernah terjun dari salah sebuah bangunan sekolah tahun lalu,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222.






