puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Shukri Yahaya, 37, mengalami kecederaan melecur pada belakang badan selepas terkena serpihan kaca akibat letupan ‘pyro’ ketika menjalani penggambaran filem aksi terbaharunya, Chelot.
Shukri berkata, insiden berkenaan berlaku semasa dia melakukan babak ‘one take’ yang membabitkan aksi berlari yang turut menggunakan pelbagai teknik kesan khas.
“Kecederaan berlaku ketika ‘one take’ penggambaran semasa saya berlari dan ia berlaku pada masa yang tidak tepat. Saya tidak pasti sama ada kesalahan saya atau ‘pyro’.
“Sama ada ‘pyro’ terletup awal atau saya terlaju ke depan, jadi kesan letupan itu kena belakang badan saya sedikit. Tetapi waktu kena itu pun saya tetap teruskan penggambaran sebab ia ‘one take’ dan sudah sampai separuh penggambaran yang melibatkan ramai orang,” katanya.
Shukri berkata demikian ketika ditemui pada sesi pengenalan pelakon dan pelancaran poster filem terbaharu lakonannya, Chelot, di sini, semalam.
Menurut Shukri, meskipun dia memakai beberapa lapisan baju, kaca yang pecah akibat letupan ‘pyro’ berkenaan tetap ‘tembus’ ke badannya dan menyebabkan kulit belakang badannya melecur serta koyak.
“Cuma belakang badan saya melecur dan koyak akibat ‘pyro’ itu pecah dan kaca masuk melepasi baju kemeja serta ‘suit’ yang saya pakai.
“Walaupun kulit belakang badan saya koyak, ia tidak memerlukan jahitan. Selepas penggambaran babak itu tamat, saya buat pemeriksaan di hospital dan semua okay,” katanya lagi.
Bagaimanapun, biarpun menerima rawatan dan balutan badan di hospital, Shukri tetap meneruskan penggambaran dan terus kembali ke set pada hari yang sama.
“Selepas pergi hospital buat pemeriksaan, mereka kata ‘jom buat lagi satu babak’. Jadi kami buat lagi satu ‘take’ dalam keadaan saya cedera. Tetapi tiadalah saya merengek atau apa, jadi saya teruskan sahaja (penggambaran),” kongsinya lagi.
Ditanya sama ada timbul rasa serik untuk membintangi filem aksi pada masa akan datang, Shukri berkata, insiden berkenaan tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berlakon dalam filem aksi.
“Saya tidak serik, cuma lepas ini saya akan tanya lebih terperinci. Contohnya bila mahu buat, bila mahu letupkan atau bila mahu baling.
“Bukan pelakon sahaja, tetapi seluruh pasukan termasuk kru teknikal dan kru pyro perlu lebih berhati-hati dan tepat kerana ia melibatkan keselamatan
“Sebelum kejadian itu latihan yang dilakukan selama tiga hari semuanya sudah sempurna. Cuma waktu penggambaran sebenar mungkin ada rasa gemuruh,” kongsinya.
Katanya, dia turut mengesahkan semua babak aksi dalam filem Chelot ini dilakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat ‘stuntman’ (pelakon lagak ngeri).
Selain Shukri, filem Chelot ini turut dibarisi pelakon popular seperti Shaheizy Sam, Beto Kusyairy, Nadhir Nasar, Alicia Amin, Azhan Rani dan ramai lagi.
Chelot mengisahkan pemburuan sebuah sindiket penyeludupan senjata selepas satu operasi besar-besaran Polis Diraja Malaysia gagal dan mengorbankan beberapa anggotanya.
Filem yang turut mencipta Malaysia Book Of Records (MBOR) ini bakal menemui penonton di seluruh negara pada 27 Ogos depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






