Pelakon dan pengacara Nona TV3, Amyra Rosli berkongsi hobi terkini suaminya yang juga pelakon, Amar Baharin.
Kata Amyra, Amar kini mempunyai hobi baharu iaitu menanam sayur-sayuran di rumah sebagai langkah berjimat cermat susulan keadaan ekonomi yang semakin membimbangkan.
Namun, perubahan itu dilihat sebagai sesuatu yang positif memandangkan ia bukan sahaja memberi hasil, malah membuatkan suaminya itu lebih banyak meluangkan masa di rumah bersama keluarga.
“Mungkin dia rasa dunia sekarang memerlukan kita untuk berjimat cermat, jadi dia ada hobi baru menanam sayur-sayuran. Bagus juga sebab selain ada hasil, dia pun duduk di rumah sahaja.
“Saya suka bila suami saya ada hobi begini, hidup dia nampak gembira. Inilah cara dia untuk membahagiakan keluarga, jadi saya tumpang gembira,” katanya.
Amyra berkongsi perkara demikian ketika ditemui pada tayangan episod akhir drama Khianat Yang Terpilih baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai hobi terbarunya suaminya itu, Amyra memaklumkan, Amar telah memanfaatkan kira-kira suku kawasan rumah untuk tanaman menggunakan sistem hidroponik.
“Setakat ini baru suku kawasan rumah tanaman itu dan dia gunakan sistem hidroponik. Ada macam-macam sayuran yang dia tanam antaranya pegaga, bendi, kobis, ulam raja dan macam-macam lagi,” jelasnya.
Meskipun mempunyai hobi baru bercucuk tanam, namun aktiviti berbasikal masih menjadi hobi suaminya.
“Berbasikal itu masih lagi menjadi hobinya, tapi tak ada perancangan nak pergi Madinah macam tahun lalu. Sebab Amar pun sedar dengan keadaan dunia sekarang,” kongsinya.






