Georgetown: Program BijakWang Challenge 2025 anjuran mySalam sempena Karnival Celik Kewangan (KCK) Pulau Pinang mencatat sejarah baharu apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Cabaran Kuiz Literasi Kewangan Terbesar.
Pengiktirafan itu diberikan selepas cabaran berkenaan merekodkan 4,891 peserta dalam tempoh satu jam melalui platform TikTok LIVE dan laman kuiz interaktif Kahoot!.
Ia rekod kedua buat mySalam selepas kejayaan meraih pengiktirafan Siaran Langsung Literasi Kewangan Tanpa Henti Terpanjang pada penganjuran KCK di Tawau, Sabah, Julai lalu.
Skim perlindungan takaful nasional untuk komuniti B40 yang diurus sepenuhnya oleh Great Eastern Takaful Berhad (GETB) itu terus komited memperkasa masyarakat melalui program literasi kewangan yang dinamik dan berimpak tinggi.
Menurut Ketua Skim mySalam, Syuhaib Ithnin, program ini membuktikan pendidikan kewangan boleh disampaikan secara kreatif dan interaktif sambil menarik minat belia dan pelajar universiti.
Pendekatan kuiz secara langsung dan konsep gamifikasi menjadikan pembelajaran kewangan lebih menyeronokkan, mudah difahami dan relevan dengan gaya hidup digital masa kini.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sijil pengiktirafan MBOR yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Bayan Lepas, di sini, hari ini.
Sijil berkenaan disampaikan pegawai MBOR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah, kepada Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful, Shahrul Azlan Shahriman, dengan disaksikan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Radzuan Mohamed, serta Pengurus Dasar Awam TikTok Malaysia, Mohd Aliffadhli Zakaria.
Sebagai usaha memperkukuh pembelajaran kewangan secara berterusan, mySalam menubuhkan Komuniti BijakWang melalui aplikasi WhatsApp yang kini disertai lebih 2,000 ahli.
Komuniti ini menjadi platform perkongsian tip pengurusan kewangan, maklumat perlindungan sosial seperti mySalam dan Perlindungan Tenang serta hebahan aktiviti dan peluang pembelajaran baharu.
Pelaksanaan BijakWang Challenge 2025 turut diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan pelbagai institusi pendidikan tinggi di seluruh negara, termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (iCATS) dan Politeknik Kota Bharu.
Penyertaan terbuka kepada pelajar berusia 16 tahun ke atas serta warga pendidik bagi memperluas capaian pendidikan kewangan dan memupuk amalan pengurusan kewangan berhemat dalam kalangan generasi muda.

Rata-rata peserta menyatakan mereka gembira kerana dapat belajar tentang pengurusan kewangan secara interaktif sambil bersaing dalam suasana menyeronokkan.
Seramai sembilan peserta terbaik dipilih berdasarkan keputusan kuiz dan menerima hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000, manakala hadiah istimewa bernilai RM3,000 turut diberikan kepada institusi pendidikan dengan jumlah penyertaan tertinggi, yang dimenangi oleh Universiti Sains Malaysia (USM).
© New Straits Times Press (M) Bhd





