TEMERLOH – Sebagai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-16, Barisan Nasional (BN) menumpukan usaha mengasah dan melatih bakat muda pemimpin parti menerusi Sekolah Politik di bawah Majlis Latihan dan Pengkaderan UMNO Malaysia.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, senarai calon-calon akan diperoleh daripada Pengerusi BN bagi setiap negeri.
Menurutnya, calon-calon yang dikenalpasti akan diberikan latihan teori dan amali kepimpinan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) di Janda Baik, Bentong.
“Kita akan menilai prestasi mereka sewaktu mereka menghadiri sekolah politik berkenaan dan kita akan bawa senarai mereka itu ke bawah untuk kita lihat siapakan yang boleh memenangi sesautu kerusi itu dan penerimaan para pengundi dan bagaimana taraf ‘likeability’ atau seseorang itu disukai oleh pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Pahang sempena Sambutan Jubli Emas BN ke-50 di Dewan Tun Razak, di sini, hari ini.
Jelas Ahmad Zahid, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN dua bulan lalu dan maklumat lanjut mengenainya akan dimaklumkan Ketua Biro Latihan dan Pengkaderan UMNO Malaysia, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau dalam ucapannya berkata, sudah sampai masanya parti itu melatih pelapis pemimpin parti agar dapat memperkukuh BN dalam mengatasi pembangkang sewaktu PRU-16.
“Pemimpin pelapis mesti dilakukan sekarang. Ini wajib dilakukan. Jangan jadi pemimpinn menongkat langkit. Ini masa sesuai untuk kita kenal bakat baru dalam kepimpinan.
“Jangan cari pandai pidato tapi perlu khidmat kepada rakyat sebab BN dan UMNO bukan parti waktu bermusim waktu masa pilihan raya sahaja. Kita berkhidmat setiap masa,” katanya. – MalaysiaGazette