BN Negeri Sembilan tanding semua 36 kerusi DUN

BN Negeri Sembilan tanding semua 36 kerusi DUN

BN Negeri Sembilan tanding semua 36 kerusi DUN


JELEBU: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 dengan pembahagian kerusi akan turut melibatkan parti komponen MCA dan MIC.

Timbalan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan untuk bertanding di kesemua kerusi telah dipersetujui oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, UMNO kini sedang menyiapkan senarai nama untuk dipertimbangkan sebagai calon dalam PRN tersebut.

“Seperti lazimnya, senarai itu akan menggandingkan antara muka lama dan baru yang dipercayai mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap rakyat dan negara.

“MCA dan MIC akan turut dipertimbangkan dalam pembahagian kerusi dalam PRN itu namun keputusan muktamad akan diputuskan kemudian,” katanya selepas majlis perkahwinan lapan pasangan pengantin serentak di Masjid Dato Undang Luak Jelebu di sini hari ini.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir dan ADUN Sungai Lui, Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali.

Kelmarin, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun telah mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan berkuatkuasa semalam bagi memberi laluan kepada PRN.

Dalam PRN15 pada Ogos 2023, Pakatan Harapan (PH) menang 17 kerusi, UMNO (BN) 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi.

Jalaluddin memberitahu, BN akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memperincikan semua urusan berkaitan PRN tersebut termasuk kerusi yang ditandingi oleh semua parti dalam gabungan berkenaan.

“UMNO negeri berada dalam kedudukan siap sedia serta menggerakkan jentera bagi menghadapi PRN kali ini,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top