PETALING JAYA: Agenda pembangunan Negeri Sembilan dijangka diteruskan tanpa perubahan besar susulan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), dengan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan pelaburan.
CIMB Securities berkata, pemerhati menjangkakan dasar pembangunan sedia ada akan diteruskan bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur tidak terjejas, Walaupun barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih belum diumumkan.
“Antara projek yang dijangka terus menjadi tumpuan ialah MVV 2.0, koridor pembangunan strategik yang dilancarkan semula pada Disember 2018 selepas diperkenalkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 pada 2015,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurutnya, kemenangan gabungan tidak rasmi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk majoriti dua pertiga, memberi isyarat kesinambungan dasar pembangunan negeri.
Susulan keputusan itu, katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
“Koridor pembangunan bersepadu itu dibahagikan kepada enam zon pembangunan khusus bagi menarik pelaburan dalam sektor perindustrian, teknologi tinggi, logistik dan perkhidmatan moden.
“Sehingga kini, MVV 2.0 telah menarik pelbagai pelaburan berskala besar termasuk pembangunan Hamilton Industrial Park dan Vision Business Park oleh Sime Darby Property, Eco Business Park VII oleh Eco World Development Group serta MVV TechValley yang dibangunkan Matrix Concepts Holdings.
“Selain MVV 2.0, beberapa projek pembangunan utama lain turut dijangka menjadi pemangkin ekonomi negeri termasuk pembangunan Seremban Sentral bernilai RM2 bilion yang dilaksanakan menerusi kerjasama Sunway Bhd dan Railway Assets Corporation,” katanya
Firma penyelidikan mengekalkan pandangan ‘neutra’ terhadap sektor hartanah secara keseluruhan, namun optimis terhadap prospek jangka panjang koridor perindustrian MVV 2.0 yang terus berkembang.
Menurutnya, koridor itu dijangka terus menerima manfaat daripada kemasukan pelaburan syarikat tempatan dan syarikat multinasional, selain kedudukannya yang strategik sebagai lanjutan kepada pembangunan pesat Lembah Klang Selatan.
Pada masa sama, katanya pelaksanaan semula pelan induk KLIA Aerotropolis yang bersempadan dengan kawasan perindustrian Nilai dijangka meningkatkan lagi daya tarikan MVV 2.0 sebagai hab perindustrian, logistik dan teknologi.
“Dalam sektor hartanah, Matrix Concepts Holdings, Eco World Development Group dan Sime Darby Property dilihat sebagai antara pemaju yang berpotensi memperoleh manfaat terbesar daripada perkembangan pesat MVV 2.0.
“Selain itu, beberapa pemaju utama lain yang mempunyai projek pembangunan di Negeri Sembilan ialah IJM Corporation, OSK Holdings serta Seri Pajam Holdings,” jelasnya. – UTUSAN






