July 27, 2024

Boost Bank sasar jadikan pengguna e-dompet kepada pelanggan perbankan

Boost Bank sasar jadikan pengguna e-dompet kepada pelanggan perbankan


KUALA LUMPUR – Bank digital tempatan, Boost Bank oleh Axiata dan RHB (Boost Bank) menyasar untuk menjadikan ekosistem e-dompet semasanya kepada pelanggan perbankan dan diunjur merekodkan keberuntungan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Fozia Amanulla berkata ekosistem e-dompet Boost mempunyai sejumlah besar pelanggan individu serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berjumlah lebih 10 juta, dengan kira-kira 1.6 juta pengguna aktif.

“Jadi, pelanggan sasaran pertama kami ialah mereka yang berada dalam ekosistem kami,” katanya pada sidang media selepas perasmian bank digital itu di sini, pada Khamis.

Beliau berkata bank digital itu berpangkalan di Semenanjung Malaysia namun, Boost juga mempunyai prestasi kukuh di Malaysia Timur, dan akan terus merintis melalui perkongsian strategik dalam menjangkau segmen kurang mendapat perkhidmatan bank dan tidak mendapat perkhidmatan itu.

Rakan kongsi itu termasuk CelcomDigi, Mydin, Bataras Sdn Bhd, CKS Retail Sdn Bhd, Farley (KCH) Sdn Bhd, Servay Hypermarket (Sabah) Sdn Bhd, serta Boulevard Hypermarket & Departmental Store Sdn Bhd.

“Jadi, selain hanya memberikan perkhidmatan kepada segmen itu, saya berpandangan ideanya juga adalah untuk kami menyediakan celik kewangan dan mendidik pelanggan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmian berkata beliau mahu Boost Bank melaksanakan usaha bersungguh-sungguh untuk memastikan rakyat mampu memahami kecelikan digital, bagi memanfaatkan perkembangan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan.

“Saya harap keluarga dalam Boost Bank ini, Axiata dan RHB sebagai tonggaknya turun untuk menyebarkan kemudahannya supaya dimanfaatkan oleh PMKS sebagai keutamaannya dan kepada rakyat terbanyak, ini baru ada makna,” kata beliau.

Konsortium Boost-RHB Digital Bank, dengan Boost, cabang teknologi kewangan Axiata, memegang 60 peratus ekuiti dan RHB memiliki baki 40 peratus.

Bank digital itu adalah antara lima pemohon lesen yang berjaya yang diumumkan Bank Negara Malaysia pada April 2022, yang kemudian memulakan operasi susulan kelulusan kawal selia rasmi pada 15 Jan, 2024.

Anwar berkata usaha itu akan dibantu oleh Kementerian Digital di bawah Menterinya Gobind Singh Deo dalam memberikan idea dan cadangan yang sesuai kepada bank digital itu.

Susulan pelancaran aplikasi perbankannya, Boost menjadi bank digital pertama yang membolehkan pembukaan akaun terbenam melalui aplikasi Boost eWallet.

Bank itu juga melancarkan kedudukan eksklusif baharu yang dipanggil ‘Platinum President’ untuk pengguna yang membuka akaun Boost Bank dan memenuhi kriteria tertentu.

“Pengguna perlu mendepositkan sekurang-kurangnya RM2,000 ke dalam Balang Simpanan dan/atau Akaun Simpanan Boost Bank, membolehkan mereka menerima kadar faedah harian promosi sehingga 3.6 peratus setahun mulai sekarang hingga 31 Ogos,” jelas bank itu.

Boost Bank juga merancang untuk melancarkan perkhidmatan baharu seperti kad debit pada Julai untuk penggunanya.- BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top