Kenaikan permohonan pinjaman bukti permintaan hartanah tinggi – MIDF Research

Kenaikan permohonan pinjaman bukti permintaan hartanah tinggi – MIDF Research


Dalam nota penyelidikannya hari ini, katanya, permohonan pinjaman yang tinggi itu sejajar dengan jangkaan MIDF Research mengenai permintaan yang lebih kukuh pada 2024 berikutan prospek sektor hartanah yang lebih baik dan status quo Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus.

Selain itu, katanya, pinjaman diluluskan untuk pembelian hartanah kembali kepada pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 15.2 peratus pada April 2024, didorong terutamanya oleh permohonan pinjaman yang tinggi.

“Kami berpendapat kelulusan pinjaman perlu kekal menggalakkan pada masa akan datang berikutan permohonan pinjaman yang tinggi. Ini akan membawa kepada prospek jualan baharu yang lebih baik untuk pemaju,” katanya.

Secara keseluruhan, pertumbuhan pendapatan pada suku pertama 2024 untuk syarikat hartanah adalah positif, didorong oleh pengiktirafan yang tinggi daripada projek hartanah apabila isu kekurangan tenaga kerja telah selesai manakala jualan hartanah baharu yang lebih baik turut menyokong pertumbuhan pendapatan.

“Jualan baharu syarikat hartanah pada suku pertama 2024 sebahagian besarnya dijangka memenuhi jangkaan berikutan minat belian yang kekal baik,” katanya.

Sementara itu, beberapa syarikat hartanah, Mah Sing Group, UEM Sunrise dan Sime Darby Property, menceburi industri pusat data baru-baru ini untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pusat data di Malaysia.

“Kami melihat usaha oleh syarikat hartanah itu secara positif berikutan langkah tersebut meningkatkan nilai pegangan tanah mereka. Ia turut meningkatkan pendapatan berulang mereka dalam bentuk sewa atau perkongsian keuntungan daripada perniagaan pusat data.

“Kami percaya pendapatan daripada pusat data akan kekal stabil berikutan permintaan yang meningkat di Malaysia,” katanya.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kediaman tidak terjual merosot kepada 24,208 unit pada suku pertama 2024 daripada 25,816 unit pada suku keempat 2023, dengan Perak mempunyai hartanah siap tidak terjual tertinggi sebanyak 4,588 unit pada suku pertama 2024 berbanding 4,598 unit pada suku keempat 2023.

“Secara keseluruhannya, kediaman tidak terjual terus menurun pada suku pertama 2024. Ia merosot kepada paras terendah sejak 2018. Ini adalah positif untuk sektor hartanah,” katanya.

Oleh itu, MIDF Research mengekalkan saranan positif terhadap sektor hartanah dengan saranan “Beli” untuk Mah Sing Group dan Matrix Concepts dengan harga sasaran, masing-masing sebanyak RM1.83 dan RM2. –  BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top