Seoul: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang hilang pada Ahad lalu, ditemukan maut berhampiran puncak Taman Negara Juwangsan pada pagi Selasa lalu, menurut pihak polis dan bomba Wilayah Gyeongsang Utara.
Menurut Korea Herald, dia dipercayai maut selepas terjatuh.
Mayat kanak-kanak itu ditemukan pada 10.25 pagi, kira-kira 100 meter (m) dari puncak gunung, selepas lebih 350 anggota dikerahkan pada hari ketiga operasi pencarian.
Difahamkan, pelajar sekolah rendah darjah enam itu melawat Daejeonsa, sebuah kuil Buddha di dalam taman negara berkenaan, bersama ibu bapanya selepas berlepas dari rumah mereka di Daegu pada Ahad.
Menurut media sama, sekitar tengah hari, dia memberitahu ibu bapanya bahawa dia akan ‘pergi sedikit lebih jauh ke atas gunung’ sebelum bergerak seorang diri menuju puncak tanpa telefon bimbit.
Laluan dari kuil ke puncak Juwangsan setinggi 720 m itu sejauh kira-kira dua hingga tiga kilometer (km) dan biasanya mengambil masa kira-kira satu jam 20 minit untuk perjalanan sehala bagi orang dewasa.
Dalam pada itu, ibu bapanya melaporkan dia hilang pada hari itu selepas dia gagal kembali, pada 5.53 petang Ahad.
Operasi mencari segera dilancarkan selepas laporan kehilangan dibuat oleh keluarga.
Selepas gagal menemuinya sepanjang malam, operasi pencarian disambung semula pada pagi Isnin dalam skala lebih besar.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, kira-kira 100 anggota penyelamat termasuk bomba, polis dan pasukan penyelamat gunung dikerahkan bersama helikopter serta peralatan tambahan.
Media tempatan mengenal pasti kanak-kanak itu sebagai murid tahun enam dari Daegu yang memakai uniform besbol Samsung Lions dan berketinggian kira-kira 145 sentimeter (sm).
Ibu bapanya berkata, mereka pernah mendaki di kawasan itu kira-kira setahun lalu, namun kanak-kanak itu berasa letih dan tidak dapat meneruskan pendakian ke puncak.
Pada hari kejadian, kanak-kanak itu dilaporkan berkata, dia hanya akan naik sedikit sebelum kembali turun.
Pihak polis tempatan akan menjalankan siasatan terhadap keadaan sebenar di sebalik kematiannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






